Pasukan Khas URA Perkukuh Peranan UMNO, Dengar Suara Rakyat
KUALA LUMPUR, 4 Sept – UMNO Johor Bahru yakin bahawa langkah menubuhkan Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA akan memperkukuh peranan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendengar suara rakyat.
Ketuanya, Datuk Yahya Jaafar berkata, pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai Ketua Pasukan Khas RUU URA tersebut adalah tepat kerana beliau merupakan seorang tokoh yang berwibawa.
“UMNO Johor Bahru menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Naib Presiden UMNO, untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi menambah baik RUU PSB atau URA.
“Pelantikan ini amat tepat pada masanya, memandangkan Datuk Seri Johari adalah seorang tokoh berwibawa dengan pengalaman luas dalam bidang kewangan, korporat dan pembangunan bandar. Kepakaran beliau diyakini mampu memastikan RUU tersebut digubal dengan lebih teliti, adil dan berpihak kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, Konvensyen Melayu Bandar merupakan platform sebenar untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan semula bandar sebelum RUU tersebut dimuktamadkan.
“UMNO Johor Bahru percaya bahawa Konvensyen Melayu Bandar merupakan platform sebenar untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan semula bandar dan mendapatkan pandangan rakyat, khususnya masyarakat bandar serta pemilik hartanah, sebelum RUU ini dimuktamadkan.
“UMNO Johor Bahru kekal konsisten bahawa setiap dasar dan undang-undang yang dibentangkan mestilah berpaksikan kepentingan rakyat, melindungi hak pemilik tanah dan hartanah, serta memastikan pembangunan semula bandar memberi manfaat seimbang kepada semua pihak tanpa mengorbankan hak rakyat.
“UMNO Johor Bahru yakin langkah ini akan memperkukuhkan lagi peranan UMNO sebagai parti yang sentiasa mendengar suara rakyat, mengangkat isu-isu sebenar masyarakat dan meletakkan kepentingan bangsa serta negara sebagai keutamaan,” katanya lagi.
Pada Rabu media melaporkan UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU PSB atau URA
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online