Pasukan Khas URA: Bukti UMNO Tidak Pernah Tersasar Dari Perjuangan
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Penubuhan Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau URA menjadi bukti bahawa UMNO tidak pernah tersasar dari dasar perjuangan buat orangMelayu.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menerusi satu kenyataan berkata Veteran UMNO yakin bahawa Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkeupayaan untuk menghasilkan satu RUU yang boleh diterima orang Melayu bandar.
“Veteran UMNO Malaysia mengalu-ngalukan perlantikan Datuk Seri Johari mengetuai pasukan khas untuk mengkaji dan meneliti RUU URA sebelum ianya dibentang dalam Konvensyen Khas Melayu Bandar.
“Inilah yang Veteran UMNO maksudkan sebelum ini, supaya RUU ini dikaji dengan teliti dan diubah suai sebelum ianya dibentang semula dan dibahas dalam parlimen bulan Oktober nanti.
“Veteran yakin keupayaan Datuk Seri Johari yang terlibat secara langsung dalam isu Kampung Sungai Baru untuk membantu menghasilkan satu RUU yang boleh diterima oleh semua pihak yang berkepentingan khususnya orang Melayu bandar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa kesungguhan UMNO ini turut menjawab tuduhan yang mengatakan parti ini tidak berani menyanggah cadangan kerajaan.
“Kesungguhan UMNO menjawab tuduhan sebelum ini yang mengatakan UMNO tidak peka dan cakna terhadap RUU itu serta tidak berani menyanggah cadangan kerajaan walaupun diperingkat parlimen.
“Terbukti UMNO tidak pernah tersasar dari dasar perjuangannya untuk orang Melayu. Ternyata UMNO bukanlah kuda tunggangan Dap seperti sangkaan mereka yang membenci dan bertujuan memburukkan UMNO.
“UMNO tetap UMNO dan tidak ada istilah UMDap dalam perjuangan UMNO,” katanya lagi.
Pada Rabu media melaporkan UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan RUU PSB atau URA
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online