Melaka Week @ Expo 2025 Osaka Buka Peluang, Perkenal Produk Melaka Ke Persada Dunia

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata kunjungan serta sambutan orang ramai terhadap Melaka Week @ Expo 2025 Osaka amat membanggakan.

Menurut beliau dua hari program berkenaan telah mencatatkan kehadiran 20,0000 pengunjung direkodkan dan perkembangan tersebut menunjukkan sokongan yang positif.

“Baru sahaja dua hari pembukaan Melaka Week @ Expo 2025 Osaka, seramai 20,000 orang pengunjung setakat ini telah direkodkan. Bertemakan “Designing Future Society for Our Lives”, Minggu Melaka di Pavilion Malaysia telah dirasmikan oleh Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka.

“Sepanjang minggu ini, delegasi Kerajaan Negeri Melaka memfokuskan misi besar membawa negeri bersejarah ini untuk muncul sebagai pemacu utama strategi halal negara, memperkasakan produk-produk Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS), misi pelaburan serta pemeteraian lima MoU antara agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri dengan sektor swasta tempatan dan antarabangsa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Selain itu tambah Abdul Razak lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, ruang dan peluang yang ada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memperkenalkan produk pelancongan Melaka ke persada dunia.

“Ini juga akan menjadi persediaan Melaka dalam menjadi tuan rumah kepada sambutan World Tourism Day 2025 pada 27-29 September ini.”

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan lima Memorandum Persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara agensi dan syarikat di Melaka bersama pihak Jepun.

“Saya bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyaksikan sendiri lima MoU yang berjaya dimeterai antara agensi dan syarikat di Melaka bersama pihak Jepun.

“Antara yang dimeterai adalah dua MoU di antara Perbadanan Melaka – MCORP, Universiti Teknikal Malaysia Melaka – UTeM, Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Kansai University, Jepun bagi menjalankan kajian tentang bencana alam serta kesan akibat ribut petir di sepanjang pantai di Selat Melaka.

“Selain itu, turut dimeterai MoU berkaitan pertanian bagi membekal buah-buahan Melaka ke Jepun seperti durian, nangka, nanas dan tembikai, selain jus buah Melaka berjenama Melberic juga bakal menembusi pasaran Jepun. MoU terakhir adalah berkaitan minyak biofuel membabitkan syarikat Melaka dan Jepun di mana keseluruhan perjanjian ini dianggar bernilai RM1 bilion,” jelasnya lagi.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79