DICE 3.0 Pentas Penting Angkat Bakat Digital Pelajar IPT – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan Digital Innovation Creativepreneur 3.0 (DICE 3.0) sebagai pentas penting dalam mengangkat bakat anak muda Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ke persada global.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam pada itu berbesar hati apabila edisi kali ini telah mencipta sejarah baharu apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme.

“Pengiktirafan ini adalah bukti nyata bahawa usaha kita dalam membina ekosistem inovasi digital kreatif semakin menampakkan hasil yang membanggakan.

“Sebanyak 64 projek digital kreatif telah dipersembahkan melibatkan 320 peserta dari IPT seluruh negara serta rakan serantau dari Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Projek-projek ini meliputi animasi, filem pendek, aplikasi permainan digital, sehinggalah kepada media interaktif berasaskan teknologi VR/AR sekaligus membuktikan pelajar kita berani mencipta, bereksperimen, dan membina solusi masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dr Zambry memaklumkan sejak diperkenalkan pada 2023, DICE telah melahirkan 156 syarikat pemula, dengan lebih 742 peserta dan jaringan lebih 30 rakan industri.

Katanya lagi, ia juga bukan sekadar angka tetapi kisah kejayaan anak muda yang bertransformasi daripada pelajar kepada usahawan kreatif.

“Saya ingin menegaskan bahawa DICE bukan sekadar program pertandingan, tetapi sebuah ekosistem keusahawanan pelajar yang dinamik menggabungkan latihan, bimbingan pakar, sokongan industri serta ruang inkubasi untuk mereka terus berkembang.

“Inisiatif ini akan melahirkan lebih ramai anak muda yang bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, tetapi pencipta pekerjaan yang mampu membawa nama Malaysia ke peringkat dunia,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79