ADUN Jeram Padang Komited Aplikasi Agenda Digitalisasi Untuk Rakyat
JEMPOL, 4 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan infrastruktur komunikasi dan digital termasuklah di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan kerajaan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pelbagai agensi amat penting bagi memastikan masyarakat termasuk komuniti Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital.
“Penyediaan capaian internet untuk kekal beroperasi amat penting bagi memastikan rakyat luar bandar menikmati akses internet yang lebih baik dan stabil. Pelaksanaan bagi peningkatan infrastruktur ini memberi manfaat dalam aspek pendidikan, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Saya akan terus memastikan agenda digitalisasi di DUN Jeram Padang berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu beliau telah melakukan tinjauan ke tapak infrastruktur komunikasi di Kampung Baru Rompin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MCMC dan syarikat pelaksana yang melaksanakan Projek USP Gentian Optik Point of Presence (POP) di sekolah-sekolah kawasan Jeram Padang.
Maklumnya, sehingga kini, empat sekolah telah siap sepenuhnya dipasang dengan gentian optik manakala sembilan lagi sekolah sedang dalam perancangan.
“Projek ini bakal menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada warga sekolah, meningkatkan kualiti pembelajaran digital serta menyokong agenda pendidikan negara.”
Mohd Zaidy turut memaklumkan mengenai Projek USP Menara Telekomunikasi Baharu di DUN Jeram Padang yang kini sedang giat dilaksanakan dengan tiga buah menara telah siap dan beroperasi sepenuhnya manakala tiga lagi masih dalam pelaksanaan.
“Saya akui terdapat cabaran teknikal dan pentadbiran, khususnya melibatkan isu tanah serta pampasan bersama pihak berwajib. Namun dengan kerjasama semua pihak, saya yakin perkara ini dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat,” jelasnya.
Beliau menegaskan, kehadiran menara baharu itu akan memberi manfaat besar bukan sahaja dalam aspek komunikasi malah kepada keselamatan, pendidikan, perniagaan dan pembangunan ekonomi setempat.
“Sebagai ADUN Jeram Padang, saya akan terus komited memastikan setiap projek yang dirancang dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan komitmen bagi menjayakan agenda berkenaan. – UMNO Online