WHI Dengan Sokongan MARA Bakal Pacu Ekonomi Wanita Dalam Industri Halal

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan Women in Halal Industry (WHI) dengan dukungan MARA akan memberikan anjakan paradigm kepada perkembangan ekonomi wanita.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ini kerana WHI bukan sahaja bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita dalam ekosistem halal, malah memastikan mereka mendapat akses kepada ilmu, bimbingan, serta jaringan strategik yang diperlukan untuk berkembang.

“Kerjasama strategik bersama MARA diyakini mampu menjadi pemangkin dalam memperkukuh sokongan, pembangunan kapasiti dan penyediaan peluang yang lebih luas kepada wanita.

“Insya-Allah, WHI akan terus memainkan peranan sebagai platform inklusif yang mengangkat martabat wanita bukan sahaja sebagai penggerak ekonomi halal, bahkan sebagai agen perubahan sosial yang membawa manfaat kepada masyarakat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Noraini berkata demikian bagi berkongsi kehadirannya ke Ibu Pejabat MARA untuk bertemu Pengerusi, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu beliau turut optimis WHI akan terus berkembang sebagai satu gerakan yang memberi impak nyata terhadap pembangunan ekonomi wanita.

Katanya ia sekaligus selari dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju global dalam industri halal.

Turut hadir Ahli Lembaga MARA, Senator Datuk Rosni Sohar dan Ketua Pegawai Komunikasi Korporat HDC, Norashekin Yusof. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79