Warden MRSM: MINDEF Sentiasa Teroka Jalan Mampan, Perkasa Kesejahteraan Veteran ATM
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa meneroka pelbagai jalan lestari dan mampan untuk memperkasa kesejahteraan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan veteran ATM sebagai warden di di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) merupakan tanda penghargaan tinggi terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Senator Datuk Rosni Sohar dan Senator Datuk Ros Suryati Alang atas sokongan terhadap pelantikan veteran ATM sebagai warden di MRSM.
“Sememangnya, agenda kesejahteraan dan kebajikan warga veteran ATM adalah salah satu teras utama Kementerian Pertahanan kerana ia bukan sahaja tanggungjawab hakiki kerajaan untuk memastikan kehidupan mereka sejahtera. Tetapi ia adalah tanda penghargaan tinggi terhadap jasa dan pengorbanan veteran ATM.
“Jadi, Kementerian Pertahanan sentiasa meneroka pelbagai jalan lestari dan mampan untuk memperkasakan kesejahteraan veteran ATM. Ini termasuklah penyediaan kerjaya kedua kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Menteri Pertahanan sempena Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, pada Selasa.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga sedang dirancang untuk membuka ruang penglibatan Veteran ATM sebagai alternatif penugasan keselamatan.
“Buat masa ini, Kementerian Pertahanan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pengambilan Veteran ATM sebagai Warden Luar Asrama.
“Sebagai permulaan, dua buah MRSM, iaitu MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang, telah memulakan projek rintis dengan melantik lapan orang Warden Luar Asrama. Ini merangkumi dua lelaki dan dua wanita di setiap MRSM.
“Sehubungan itu, libat urus dengan KPM juga sedang dirancang untuk membuka ruang penglibatan Veteran ATM sebagai alternatif penugasan keselamatan di sekolah-sekolah dan pejabat pendidikan di seluruh negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa memberikan perhatian terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.
“Senator Baharuddin Ahmad menyentuh berkenaan kekuatan dan kesiagaan ketenteraan negara untuk mengawal sempadan daripada sebarang pencerobohan laut, udara mahupun darat.
“Di sini, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keselamatan dan kedaulatan negara dalam menghadapi konteks keselamatan yang semakin kompleks serta mencabar.
“Selaras dengan itu, ATM melaksanakan operasi daratan, maritim dan udara di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya lagi. – UMNO Online