Terus Zahirkan Rasa Cinta Kepada Negara, Semai Semangat Patriotisme – Sharif Musa

LAHAD DATU, 3 Sept – UMNO Bahagian Lahad Datu menegaskan sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi wadah penting untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara serta menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul berkata, kemerdekaan yang dikecapi hari ini lahir daripada pengorbanan besar para pejuang bangsa, dan menjadi tanggungjawab generasi kini untuk mempertahankannya.

“Bila kita mengucapkan Selamat Hari Merdeka, ia bukan sekadar lafaz – tetapi tanda cinta kita kepada tanah air. Semangat ini mesti kita warisi dan kita hidupkan dalam diri setiap rakyat, khususnya generasi muda,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, warga Lahad Datu menyambut Hari Kebangsaan tahun ini bersama Kumpulan Samudera dengan penuh semangat, namun turut diselubungi rasa sebak dengan pemergian Puteri Sabah, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

“Walaupun kita berduka dengan kehilangan Puteri Sabah, semangat perjuangan dan cintanya kepada negeri serta tanah air harus kita jadikan ilham. Kehilangannya mengingatkan kita bahawa kemerdekaan ini harus terus dihargai dan dipertahankan,” ujarnya.

Sharif Musa turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir memeriahkan sambutan serta memohon maaf jika ada kekurangan sepanjang program berlangsung.

“Marilah kita jadikan Hari Kebangsaan ini bukan sekadar sambutan, tetapi detik memperkukuhkan jati diri bangsa, menyuburkan semangat patriotisme, dan memastikan roh cinta tanah air terus segar dalam jiwa setiap anak Malaysia,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, Sharif Musa memaklumkan bahawa UMNO terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan pendidikan di daerah ini dengan menyampaikan sumbangan kewangan kepada dua persatuan tempatan.

Sumbangan pertama diberikan kepada Persatuan Komuniti Kampung Tabanak Hilir Lahad Datu, yang baru-baru ini muncul juara dalam Pertandingan Kompang sempena Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Lahad Datu, anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah dan mewakili Lahad Datu ke Festival Kesenian Islam di Daerah Tawau kelak.

Sharif Musa turut menyerahkan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sri Pantai, sebagai sokongan terhadap penganjuran Kejohanan Silat Pantai Piala Sri Pantai Peringkat Kebangsaan 2025 yang dianjurkan bersama Kelab Sukan Silat Olahraga Sinar Hijau.

“UMNO Bahagian Lahad Datu sentiasa mendoakan kejayaan pasukan kompang Kampung Tabanak Hilir di peringkat lebih tinggi, dan pada masa sama berharap kejohanan silat anjuran PIBG SK Sri Pantai berjalan lancar serta memberi manfaat kepada generasi muda,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79