RUU URA: UMNO Lantik Johari Ghani Ketuai Pasukan Khas Untuk Tambah Baik
KUALA LUMPUR, 3 Sept – UMNO telah mengumumkan pelantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Pasukan Khas tersebut bertanggungjawab untuk meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar.
“UMNO mengumumkan pelantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Naib Presiden UMNO untuk mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan RUU PSB.
“Pasukan Khas ini bertanggungjawab meneliti dan memperhalusi setiap aspek RUU PSB secara terperinci sebelum dibentangkan dalam Konvensyen Melayu Bandar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Revolusi Konvensyen Melayu Bandar akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Konvensyen Melayu Bandar ini bakal melibatkan kepimpinan tertinggi UMNO daripada Negeri-Negeri dan Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia, parti-parti politik Melayu, Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan, Ahli-Ahli Akademik dan masyarakat sivil yang akan diadakan pada penghujung bulan September.
“Resolusi Konvensyen Melayu Bandar kelak akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Pada 28 Ogos lalu media melaporkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU PSB atau URA ditangguhkan sementara dengan mengambil kira kebimbangan banyak pihak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Menteri Luar itu berkata BN berharap supaya KPKT menangguhkan RUU tersebut dan mengadakan rundingan bersama semua pihak sebelum ia dibawa semula untuk diluluskan di Parlimen.
RUU PSB 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri KPKT, Nga Kor Ming, sebelum ini antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil serta inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan. – UMNO Online