RMK13: KESUMA Komited Jadi Enjin Reformasi Pasaran Buruh Negara
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menzahirkan komtmen untuk terus menjadi enjin reformasi pasaran buruh negara, kata Timbalan Menterinya, Datuk Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Abdul Rahman memaklumkan bahawa beliau telah selesai menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Negara pada Selasa.
“Saya telah selesai menggulung perbahasan RMK-13 di Dewan Negara bagi pihak KESUMA. Terima kasih semua pegawai yang terlibat dalam penyediaan teks penggulungan RMK-13 di Dewan Negara.
“Penggulungan ini menzahirkan komitmen KESUMA untuk terus menjadi enjin reformasi pasaran buruh negara, memastikan dasar-dasar yang digubal benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.
“Fokus utama kami adalah untuk menjamin gaji wajar dan adil, termasuk pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,700 bermula Ogos 2025. Untuk majikan kecil yang mempunyai kurang lima pekerja, kerajaan turut memberi tempoh penangguhan enam bulan agar pelaksanaan tidak membebankan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, KESUMA juga komited untuk memperluas perlindungan sosial pekerja termasuk mengangkat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai arus perdana.
“Kedua, KESUMA komited untuk memperluas perlindungan sosial pekerja, khususnya buat pekerja gig, melalui pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang akan mewajibkan caruman PERKESO secara lebih sistematik, demi kesejahteraan jangka panjang mereka.
“Ketiga, mengangkat TVET sebagai arus perdana. TVET kini bermula seawal usia 16 tahun bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir, sejajar dengan keperluan industri strategik berimpak tinggi seperti semikonduktor, automasi pintar dan ekonomi digital.
“Terakhir, sepuluh inisiatif game changer KESUMA, termasuk reformasi gaji, pemerkasaan sistem penarafan bintang berasaskan DEI (diversity, equity and inclusion), penambahbaikan akta buruh, penyelarasan latihan kemahiran, dan penggunaan AI serta digitalisasi dalam pentadbiran kementerian,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa segala inisiatif tersebut menjadi bukti bahawa Malaysia Madani sedang diterjemah melalui dasar-dasar yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.
“KESUMA sentiasa proaktif, bukan sahaja menambah baik dasar gaji wajar dan perlindungan sosial, malah memperkukuh ekosistem padanan kerja dinamik untuk memastikan rakyat kita dapat menikmati peluang kerjaya yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di pasaran global.
“Inilah bukti bahawa Malaysia Madani sedang diterjemahkan melalui dasar-dasar konkrit yang membawa manfaat langsung kepada rakyat dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online