Perkukuh Identiti Nasional, Elakkan Sebarang Bentuk Penjajahan

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Identiti nasional perlu diperkukuhkan untuk mengelakkan sebarang bentuk penjajahan bertapak di negara ini.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Sarjit Singh Darshan Singh berkata, neokolonialisme yang terjadi kini juga melibatkan penjajahan dari segi budaya khususnya kepada generasi muda.]

“Saya melihat generasi sekarang, neokolonisme yang terjadi kini adalah penjajahan dari segi budaya. Ia telah sebati dalam kehidupan masyarakat khususnya generasi muda. Kita terlalu meraikan nilai dan budaya dari luar tetapi melupakan apa yang kita ada.

“Dalam buku ‘Membangun Malaysia Madani’, banyak kali disebut tentang perpaduan. Di sini pentingnya tema dalam Dasar Perpaduan Negara (DPN) iaitu ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’. Kita banyak bercakap, namun kadangkala tindakan itu tidak sampai ke peringkat masyarakat.

“Penjajahan budaya yang berlaku bukannya isu lama. Kalau kita lihat budaya K-pop sebagai contoh, sekarang ini banyak kedai makanan Korea di Malaysia dan yang pergi makan di kedai tersebut adalah orang kita. Penjajahan itu berlaku,” katanya ketika wawancara Better Nation (BN) Forum ke-7: Kemerdekaan Dan Cabaran Kolonialisme Baru, pada Jumaat.

Ujarnya, penghormatan terhadap kepelbagai Malaysia perlu dikembalikan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

“Sekarang kita lihat ‘technocolonialisme’ ataupun penjajahan teknologi, bagaimana pengaruh-pengaruh luar masuk dalam aspek digital. Saya tidak menafikan digital adalah penting tetapi apabila disalahgunakan seperti menyebarkan maklumat palsu, scammer dan sebagainya… ini adalah ‘technocolonialisme’.

“Untuk ke depan pada saya, penjajahan yang kita nak elakkan di sini adalah mengukuhkan identiti nasional. Dalam DPN, objektif kedua membincangkan tentang identiti nasional. Kita mahu kembali kepada bangsa Malaysia yang menghormati kepelbagaian.

“Sekiranya bangsa kita tidak bersatu, jadi kita akan mudah dijajah oleh pelbagai bentuk penjajahan. Tidak kira ekonomi, politik, budaya, ilmu dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy berkata, manfaat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak sepatutnya dijadikan salah satu ramuan yang menguntungkan negara-negara lain.

“Saya kena ucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan negara yang melahirkan TVET. Ini cukup bagus untuk masa depan anak-anak muda kita.

“Tetapi ada satu perkara dalam TVET saya ingin panjangkan kerana kita tidak mahu ia menjadi salah satu ramuan untuk mewujudkan induk-induk yang akan menguntungkan negara-negara lain.

“Kedua, keusahawanan TVET. Dirisaukan apabila berlaku TVET dalam negara, ia akan memberikan satu bentuk tenaga kerja sedia ada kepada pengusaha-pengusaha TVET di luar yang bukan rakyat tempatan. Jadi, mungkin kena buat promosi 50 peratus (pekerja),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata neokolonialisme juga berlaku dalam bentuk campur tangan elemen-elemen besar dalam sosial.

“Sebab, apabila berlaku kolonialisme baharu… neokolonialisme, ianya bukan satu berbentuk pengasingan. Ia juga adalah satu bentuk penterjemahan campur tangan elemen-elemen besar termasuk dalam sosial terutamanya golongan-golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini yang kita harus lihat dalam elemen neokolonialisme. Mungkin boleh dikeluarkan satu peraturan sekiranya usahawan-usahawan ini membuka perusahaan TVET, 50 peratus mesti anak tempatan. Bergantung kepada keupayaan kita melakukan stratifikasi sosial untuk membendung perkara tersebut termasuk dalam isu kecerdasan buatan (AI),” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79