Pemuda UMNO Putrajaya Komited Perkukuh Institusi Kekeluargaan Demi Generasi Cemerlang
PUTRAJAYA, 3 Sept – Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya menegaskan komitmen mereka untuk terus mendukung usaha memperkukuh institusi kekeluargaan demi melahirkan generasi yang berakhlak dan berdaya saing.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan berkata demikian kepada UMNO Online selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan anjuran KEMAS Putrajaya di sini, semalam.
Ujarnya, Pemuda UMNO Putrajaya sentiasa melihat pengukuhan institusi keluarga sebagai agenda penting dalam membina masyarakat sejahtera.
“Pemuda UMNO Putrajaya percaya bahawa keluarga adalah unit terpenting dalam melahirkan generasi cemerlang. Kita mahu ibu bapa didedahkan dengan kemahiran yang betul agar anak-anak kita bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai disiplin, nilai moral dan jati diri yang kukuh,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada KEMAS Putrajaya atas inisiatif penganjuran bengkel ini yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Dengan sokongan berterusan semua pihak, kami yakin bahawa program seumpama ini akan menjadi wadah penting dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, sekaligus melahirkan generasi pewaris bangsa yang lebih mantap.
“Apa yang penting adalah fokus kepada pemantapan peranan ibu bapa sebagai teras utama dalam pembentukan sahsiah anak-anak, terutama berdepan cabaran era digital dan perubahan sosial semasa.”
Program sehari tersebut turut menampilkan sesi ceramah, perkongsian pengalaman serta modul interaktif yang menyentuh aspek komunikasi keluarga, pengurusan emosi ibu bapa dan penggunaan teknologi secara bijak dalam kalangan anak-anak.
Turut hadir sama ialah kepimpinan tempatan, jawatankuasa UMNO Bahagian Putrajaya serta warga KEMAS yang komited mendukung usaha membina keluarga sejahtera dan masyarakat harmoni. – UMNO Online