Malaysia Kecam Tindakan Zionis Israel Cabul Undang-Undang Berterusan

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan terhadap rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata tindakan kejam ini jelas bertentangan dengan Konvensyen Geneva 1948, bahawa menggunakan kebuluran terhadap orang awam sebagai kaedah peperangan, termasuk memusnahkan makanan, bekalan air, tanaman, ternakan atau infrastruktur yang penting untuk kelangsungan hidup, adalah haram.

“Malaysia berusaha keras dengan Negara-negara sepemikiran untuk mengenakan akauntabiliti terhadap rejim Zionis Israel ke atas pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan. Ini termasuk melalui proses perundangan antarabangsa di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Malaysia akan terus menyokong kes Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ mengenai pencabulan konvensyen Genosid 1948 yang juga merangkumi tindakan penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan.

“Malaysia juga menyokong dan menyambut baik waran tangkap yang dikeluarkan oleh ICC terhadap pemimpin-pemimpin rejim Zionis Israel (Perdana Menteri Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Gallant), atas dakwaan jenayah perang dan penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan. Kedua-dua kes di ICJ dan ICC belum lagi memasuki fasa perbicaraan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Hussin Ismail yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah terkini yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan bagi mendesak tindakan pada peringkat antarabangsa termasuk ICJ dan ICC terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata peperangan yang disengajakan oleh rejim zionis di Gaza yang jelas sekali bertentangan dengan Konvensyen Geneva.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan bahawa Malaysia akan mendesak masyarakat antarabangsa bekerjasama untuk membawa rejim Zionis Israel ke muka pengadilan.

“Malaysia juga akan terus menuntut tindakan konkrit diambil oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghalang penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Parlimen Kimanis lagi, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengecam tindakan Israel pada mensyuarat tergempar majlis-majlis Menteri Luar Negeri baru-baru ini.

“Pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah, Arab Saudi pada 25 Ogos yang lalu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan telah menyampaikan kenyataan negara secara lantang mengecam Israel menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan.

“Menteri Luar Negeri akan terus lantang mengecam tindakan jenayah rejim Zionis Israel ini dan memperjuangkan hak mutlak rakyat Palestin di Perhimpunan Agung PBB ke-80 yang bakal berlangsung pada akhir bulan September 2025, di New York nanti,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79