Lebuh Raya Pan Borneo: Penghubung Kemajuan Sarawak Demi Kesejahteraan Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) bukan sekadar jalan raya kerana ia adalah pemacu pembangunan wilayah dan simbol masa depan Sarawak serta Borneo yang lebih makmur sejahtera.

Katanya, keselamatan dan keselesaan rakyat, khususnya para pengguna LPB Sarawak, sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan.

“Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan terus memantau tahap keselamatan dan keselesaan di sepanjang jajaran ini serta sentiasa bersedia untuk meneliti sebarang cadangan penambahbaikan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek kualiti dan spesifikasi. Ini kerana kualiti pembinaan bukan sahaja melibatkan kos projek semata-mata, tetapi ia juga memberi kesan langsung kepada keselamatan rakyat, keberkesanan infrastruktur serta manfaat jangka panjang kepada negeri Sarawak dan negara secara keseluruhan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Senator Roderick Wong Siew Lead yang meminta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah Kerajaan akan memasang lampu jalan di sepanjang Lebuhr Raya Pan Borneo di Sarawak bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Berhubung lampu jalan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, demi memastikan keselamatan pengguna LPB Sarawak berada pada tahap tertinggi, sebanyak 10,039 unit lampu jalan telah dipasang.

“Sebanyak 10,039 unit lampu jalan telah dipasang sepanjang jajaran terutamanya di lokasi-lokasi strategik seperti di P-Turn, simpang-simpang utama, jejambat dengan panjang keseluruhan melebihi 100 meter serta kawasan berkepadatan tinggi.

“Pelaksanaan ini adalah selaras dengan saranan Audit Keselamatan Jalan (Road Safety Audit) yang menjadi garis panduan utama dalam reka bentuk dan pembinaan infrastruktur jalan negara.

“Bagi kawasan yang belum dilengkapi lampu jalan, Kerajaan tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan dengan menambah ciri-ciri perlindungan tambahan termasuk pemasangan pemantul cahaya (light reflector) dan penghadang jalan (guard rail),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata mengikut standard JKR, jarak di antara setiap lampu jalan yang dipasang adalah 30 meter.

“LPB Sarawak sepanjang 786 km bersamaan (tujuh ratus lapan puluh enam ribu meter) memerlukan 52,400 batang lampu jalan di kiri dan kanan jalan tersebut yang akan melibatkan kos sebanyak RM524 juta. Status terkini, lampu jalan yang sudah dipasang adalah berjumlah 10,039 batang.

“Bagi memastikan kualiti kerja sentiasa menepati spesifikasi yang telah ditetapkan, JKR Sarawak dengan kerjasama firma perunding bertauliah melaksanakan pemantauan rapi secara berterusan di tapak binaan,” jelasnya.

Ujarnya, langkah ini penting untuk memastikan setiap pakej kerja mematuhi standard, memenuhi tahap keselamatan serta menjamin keselesaan pengguna jalan raya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79