Laluan Kedua Kunci Masa Depan Ranau, Gesa Pan Borneo Dipercepatkan
RANAU, 3 Sept – Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat menegaskan bahawa pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di kawasan Ranau mesti dipercepatkan kerana ia menjadi penentu tahap keselesaan perjalanan, daya saing ekonomi Sabah serta asas pertumbuhan jangka panjang.
Menurut beliau, Ranau kini berada pada persimpangan penting dalam pembangunan negeri kerana kedudukannya yang strategik sebagai penghubung antara Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan pedalaman Sabah.
“Ranau tidak boleh lagi terus menunggu. Projek Pan Borneo ini adalah kunci untuk menjamin kelancaran perjalanan, memperkukuh aliran ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pembangunan jangka panjang di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, pembangunan infrastruktur jalan raya bukan semata-mata soal konkrit dan tar, sebaliknya ia pelaburan sosial dan ekonomi yang menentukan keselamatan pengguna, kualiti hidup rakyat serta kemampuan Ranau untuk muncul sebagai hab pelancongan, perdagangan dan pendidikan pada dekad akan datang.
Dalam masa sama, Junaidi berkata Ranau turut memerlukan pembinaan laluan kedua sebagai penyelesaian jangka sederhana bagi mengatasi kesesakan trafik yang semakin kronik akibat peningkatan jumlah kenderaan, pelancong dan penduduk.
“Laluan alternatif yang dibina di luar pekan Ranau akan membolehkan kenderaan dari Kota Kinabalu ke Sandakan bergerak tanpa menjejaskan trafik tempatan, begitu juga sebaliknya. Ranau tetap berfungsi sebagai pusat ekonomi setempat tanpa terbeban dengan trafik transit,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan jaringan jalan alternatif yang menghubungkan kampung-kampung sekitar Ranau untuk mengurangkan kebergantungan kepada jalan utama yang menampung terlalu banyak simpang masuk.
“Sekiranya isu laluan alternatif ini tidak ditangani segera, Ranau berisiko berdepan kesesakan berpanjangan, kehilangan peluang ekonomi, dan melemahkan daya tarikan pelaburan. Tetapi jika dirancang dengan berani serta dilaksanakan dengan bijaksana, Ranau mampu menjadi contoh daerah luar bandar yang moden dan berdaya saing,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri dan Persekutuan agar memberi perhatian khusus terhadap keperluan infrastruktur Ranau demi memastikan masa depan daerah ini tidak terus dikompromi. – UMNO Online