Hubungan Malaysia–China Diperkukuh, Persahabatan Berteraskan Kepercayaan – Mohamad
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan lawatan kerja ke China sebagai platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata ia menjadi medan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–China yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974 dan terus berkembang dalam semangat saling percaya serta kerjasama erat.
“Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi ke China dilengkapi dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping di Great Hall of the People, Beijing.
“Pertemuan ini menjadi medan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–China yang telah terjalin sejak 31 Mei 1974 dan terus berkembang dalam semangat saling percaya serta kerjasama erat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad dalam pada itu berkata dalam pertemuan ini juga, Xi Jinping menyatakan sokongan penuh terhadap penyertaan Malaysia sebagai anggota BRICS, suatu penghormatan besar yang mencerminkan keyakinan China terhadap potensi serta peranan Malaysia di peringkat global.
“Semoga persahabatan yang berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan ini terus menjadi kekuatan bersama dalam membina masa depan yang lebih makmur dan sejahtera,” ujar beliau.
Sementara itu menerusi hantaran berbeza Mohamad turut memaklumkan delegasi Malaysia bersama dalam mesyuarat dua hala antara Premier Republik Rakyat China Li Qiang di Diaoyutai State Guest House.
Katanya pertemuan ini membuktikan tekad dan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan yang sedia terjalin erat sejak sekian lama.
“Pelbagai bentuk kerjasama strategik turut diberi perhatian, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, inovasi teknologi serta sumber tenaga,” katanya lagi.
Terdahulu, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Anwar Ibrahim tiba di Tianjin, China pada Ahad dengan disambut oleh Menteri Pertanian China, Han Jun; Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Tianjin, Wang Chang Song dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujin.
Anwar dijadual menyertai pemimpin dunia lain dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
SCO 2025 dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarahnya, dengan lebih 20 pemimpin asing dan 10 ketua organisasi antarabangsa dijangka hadir.
SCO ditubuhkan oleh China dan Russia pada 2001 dengan fokus kepada keselamatan di Asia Tengah dan rantau sekitarnya. Malaysia bagaimanapun bukan ahli atau rakan dialog kepada SCO. – UMNO Online