Ambil Iktibar Insiden Indonesia – Gubal Akta Khusus Kawal Video & Gambar Dijana Kecerdasan Buatan (AI)
1. SAYA mengikuti dengan penuh keprihatinan insiden yang berlaku di Indonesia melibatkan penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga tercipta video palsu yang kononnya menggambarkan ucapan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati. Video tersebut bukan sahaja menimbulkan salah faham, malah menjadi punca kemarahan segelintir pihak hingga mencetuskan tindakan yang tidak beradab.
2. Perkembangan ini jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman yang boleh datang daripada teknologi AI apabila ia digunakan tanpa kawalan. Teknologi yang sepatutnya membawa kemajuan, jika disalahgunakan, boleh menjadi senjata disinformation yang mengancam kestabilan politik, keselamatan negara dan keharmonian rakyat.
3. Malaysia tidak boleh menunggu sehingga berlaku insiden seumpama itu di tanah air kita. Oleh itu, Kerajaan Malaysia perlu mengambil iktibar daripada insiden ini dan segera merangka dasar serta menggubal Akta atau Peraturan Anti-Deepfake dan Kandungan AI.
4. Kita sedar bahawa pada masa ini terdapat beberapa undang-undang sedia ada seperti Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh digunakan secara terhad untuk menangani isu privasi, keselamatan siber, serta kandungan menyeleweng. Namun, jelas undang-undang ini tidak memadai untuk mengawal cabaran baharu yang dibawa oleh teknologi AI moden, khususnya berkaitan deepfake video dan gambar yang mampu mengelirukan rakyat.
5. Antara cadangan yang wajar dipertimbangkan:
• Label/“Stamp” AI Automatik – setiap video/gambar yang dijana AI wajib disertakan tanda pengenalan digital kekal.
• Ketelusan Teknologi – syarikat pembangun AI perlu menyediakan sistem semakan yang boleh mengesahkan sama ada sesuatu kandungan dijana AI.
• Tanggungjawab Platform Media Sosial – platform seperti Facebook, TikTok, YouTube, Instagram perlu dipertanggungjawabkan untuk menapis dan menandakan kandungan AI yang berisiko.
• Hukuman Tegas – memperuntukkan penalti berat terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan kandungan AI untuk tujuan fitnah, sabotaj atau menghasut kebencian.
6. Dalam era teknologi ini, keupayaan mengawal maklumat sama penting dengan keupayaan mengurus ekonomi. Jika kita gagal bertindak awal, rakyat dan negara boleh menjadi mangsa propaganda digital yang meruntuhkan kepercayaan kepada institusi serta merosakkan perpaduan nasional.
7. Justeru, saya menyeru Kerajaan Malaysia agar memandang serius isu ini dan mempercepatkan langkah penggubalan akta/peraturan berkaitan kecerdasan buatan. Tindakan pantas dan tegas ini akan membuktikan komitmen kerajaan dalam melindungi keselamatan rakyat dan menjaga kedaulatan negara.
Ahmad Solehin Abd Ghani
Peguambela & Peguamcara
Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru