Akaun Palsu Guna Gambar AI MB Perak, Orang Ramai Diingatkan Berwaspada
KUALA LUMPUR, 3 Sept – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memohon orang ramai untuk tidak terpedaya dengan akaun Tiktok palsu yang memaparkan gambar beliau menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak itu juga memaklumkan akaun palsu tersebut menghasilkan beberapa video yang menggambarkan seolah-olah beliau menawarkan wang tunai dan menggesa orang ramai menghubungi untuk membuat tuntutan.
“Saya menerima banyak aduan mengenai ada pihak yang menggunakan gambar dan suara saya melalui teknologi AI untuk cipta akaun TikTok palsu.
“Mereka juga buat beberapa video seolah-olah saya tawarkan wang ringgit dan meminta orang ramai menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.
“Saya mohon orang ramai supaya tidak terpedaya kerana akaun berkenaan bukan milik saya dan segala tawaran yang dibuat juga adalah tidak benar,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Saarani dalam pada itu turut memaklumkan bahawa orang ramai untuk peka dan tidak terpengaruh dengan maklumat di Tiktok palsu tersebut kerana sebarang insentif kerajaan disebarkan melalui saluran rasmi.
Pihaknya juga sudah melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Segala bentuk bantuan kerajaan akan diumumkan melalui akaun media sosial rasmi Menteri Besar dan saluran-saluran rasmi kerajaan.
“Perkara ini sudah dipanjangkan kepada pihak berkuasa termasuk SKMM untuk tindakan lanjut.
“Kalau ternampak, mohon jasa baik untuk sama-sama report akaun berkenaan. Kita jangan bagi ruang pada penipuan digital,” ujar beliau. – UMNO Online