VM2026: Malaysia Sasar 47 Juta Pelancong Antarabangsa – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Malaysia menyasarkan pelawat antarabangsa menjelang tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Visit Malaysia 2026 (VM2026) Bil. 1/2025 pada Selasa.
“Tahun 2026 bakal menjadi detik besar buat negara apabila Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026).
“Hari ini saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk Visit Malaysia 2026 (VM2026) Bil. 1/2025 untuk menyelaras usaha penting ini,” katanya.
Jelasnya, sektor pelancongan negara telah menunjukkan pemulihan luar biasa dengan peningkatan sebanyak 31.3 peratus pelawat antarabangsa pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
“Alhamdulillah, sektor pelancongan negara telah menunjukkan pemulihan luar biasa. Tahun lalu sahaja, Malaysia menerima 38 juta pelawat antarabangsa, meningkat 31.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala pelancongan domestik mencecah 260.1 juta pengunjung. Angka ini membuktikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pilihan utama dunia.
“Melalui VM2026, kita menyasarkan 47 juta pelawat antarabangsa dengan perbelanjaan lebih tinggi, tempoh tinggal lebih lama dan limpahan ekonomi yang meluas kepada rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata fokus utama kerajaan pada ketika ini adalah untuk memperkukuh promosi termasuk menembusi pasaran baharu dengan tawaran unik.
“Fokus utama adalah memperkukuh promosi, menjalin kerjasama erat dengan syarikat penerbangan dan agensi pelancongan, serta menembusi pasaran baharu dengan tawaran unik termasuk ekopelancongan, beli-belah dan tarikan bermusim.
“Kejayaan ini hanya akan tercapai dengan sokongan dan semangat semua pihak. Insya-Allah, bersama-sama kita akan menjulang nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia,” katanya lagi. – UMNO Online