Pertemuan Onn Hafiz Bersama Philip Yeo, Bincang Transformasi Ekonomi Johor

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berbesar hati bertemu dengan tokoh ekonomi terkemuka Singapura, Philip Yeo bagi berkongsi pandangan mengenai hala tuju transformasi ekonomi Johor.

Menyifatkan pertemuan tersebut sebagai positif, beliau berkata perbincangan tertumpu kepada strategi global dalam memposisikan Johor sebagai hab pelaburan berimpak tinggi.

“Antara fokus utama ialah pembangunan bakat tempatan, peningkatan latihan tenaga kerja, serta kerjasama erat dengan sektor swasta bagi memperkukuh daya saing Johor di peringkat antarabangsa.

“Kami turut membincangkan kepentingan menarik pelabur global untuk memperkukuh ekosistem pelaburan negeri, terutamanya melalui pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang berpotensi menjadi game changer dalam landskap ekonomi serantau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Onn Hafiz berkata menerusi konteks geopolitik semasa, Johor berada pada kedudukan yang amat strategik sekaligus memberikan manfaat kepada perkembangan dan kemajuan negeri.

Katanya lagi dengan pendekatan two-wings model Johor menyediakan keluasan tanah dan peluang pembangunan, manakala Singapura membawa modal serta kepakaran.

“Kedua-dua negara mampu mewujudkan kerjasama yang saling melengkapi, memberikan manfaat menang-menang kepada rakyat di kedua-dua belah sempadan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mr. Philip Yeo atas kesudian berkongsi pandangan, pengalaman, dan nasihat beliau yang amat berharga.

“Semoga panduan ini menjadi inspirasi dan pendorong utama bagi Johor untuk terus melangkah maju, bersaing di pentas global, dan memastikan manfaat pembangunan dinikmati oleh seluruh rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79