Peranan PPDK Penting Dalam Penjagaan Dan Pemulihan OKU – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) adalah satu pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan diurus oleh komuniti setempat berhubung penjagaan dan pemulihan Orang Kurang Upaya (OKU), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Jelasnya, PPDK menerima saguhati bantuan pengoperasian daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara tahunan maka penyelia dan petugas dilantik adalah di bawah kelolaan JKM melalui peruntukan geran tahunan kepada pusat-pusat berkenaan.
“Melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mendapati PPDK menggajikan penyelia yang dibayar gaji RM1,500 sebulan dan petugas yang dibayar antara RM1,200 sebulan dengan caruman KWSP dan PERKESO dan diberikan kontrak perkhidmatan.
“Penyelia dan petugas juga perlu bekerja dari jam 8.00 pagi sehingga 12.00 tengahari setiap hari untuk menguruskan OKU yang berdaftar dengan PPDK dan seterusnya meneruskan kerja-kerja pentadbiran sehingga jam 3.00 atau 4.00 petang selama lima hari untuk setiap minggu dan waktu kerja yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 tidak lebih daripada 45 jam seminggu.
“Penyelia dan petugas PPDK adalah pekerja di bawah tafsiran Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan secara prinsipnya layak dilindungi oleh peruntukan undang-undang buruh termasuk pembayaran gaji minima seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Senator Isaiah A/L D Jacob yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah kedudukan perjawatan penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) sebagai sukarelawan atau pekerja yang mendapat pendapatan bulanan seperti gaji atau elaun dan mereka layak menerima gaji minima.
Mengulas lanjut Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyatakan pihak KESUMA akan terus memantau perkara tersebut mengikut undang-undang pekerjaan.
“Pihak KESUMA melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan terus memantau perkara ini dari sudut pematuhan undang-undang pekerjaan.
“Manakala Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM akan memastikan sebarang isu kebajikan melibatkan petugas PPDK ditangani secara berhemah tanpa menjejaskan kelangsungan operasi pusat tersebut,” ujarnya. – UMNO Online