Penyertaan Malaysia Cerminkan Komitmen Perkukuh Hubungan Dengan China – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Kehadiran Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Republik Rakyat China (RRC) jelas mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh hubungan baik dengan Beijing.
Demikian tegas Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang hadir atas jemputan Presiden Xi Jinping.
“Penyertaan Malaysia dalam acara ini mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh hubungan baik dengan China,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.
Maklumnya, selain menghadiri sidang kemuncak, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping dan mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Terdahulu, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tianjin, China pada Ahad dengan disambut oleh Menteri Pertanian China, Han Jun; Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) Tianjin, Wang Chang Song dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujin.
Anwar dijadual menyertai pemimpin dunia lain dalam acara itu, termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
SCO 2025 dijangka menjadi perhimpunan terbesar dalam sejarahnya, dengan lebih 20 pemimpin asing dan 10 ketua organisasi antarabangsa dijangka hadir.
SCO ditubuhkan oleh China dan Russia pada 2001 dengan fokus kepada keselamatan di Asia Tengah dan rantau sekitarnya. Malaysia bagaimanapun bukan ahli atau rakan dialog kepada SCO. – UMNO Online