Penangguhan RUU URA Bukti UMNO/BN Teguh Bela Kepentingan Rakyat – Tengku Azman

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin menyifatkan penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) ke persidangan Dewan Rakyat akan datang sebagai bukti jelas bahawa kepimpinan wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus konsisten memperjuangkan agenda kepentingan Melayu/Bumiputera serta rakyat secara menyeluruh.

Menurut beliau, langkah itu membuktikan kewujudan Ahli Parlimen BN bukan hanya dilihat daripada angka kerusi yang kecil, sebaliknya pada keupayaan untuk melaksanakan amanah serta membawa suara rakyat daripada akar umbi ke pentas nasional dengan penuh berprinsip.

“UMNO dan BN tidak pernah menolak pembangunan. Namun, kita menegaskan bahawa transformasi bandar bukan sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata. Ia mesti dilaksanakan secara adil, telus, berlandaskan undang-undang yang sebenar serta tidak mengetepikan kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO Online hari ini.

Tengku Azman turut menyokong pendirian Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan bahawa beberapa peruntukan dalam RUU URA wajar diperhalusi semula.

Antaranya termasuklah tahap persetujuan projek pembaharuan, skop kuasa eksekutif serta penentuan nilai ambang yang berisiko menjejaskan hak pemilik tanah dan harta.

Beliau menegaskan, isu ini bukan hanya melibatkan aspek pembangunan bandar semata-mata, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap hak autonomi negeri serta kestabilan komuniti setempat.

“UMNO/BN percaya bahawa pembangunan hanya akan berjaya apabila rakyat turut sama mendapat manfaatnya. Sebarang dasar atau perundangan baharu tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru hingga mengorbankan kepentingan pemilik, komuniti, dan masa depan rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar memberi ruang kepada proses perbahasan yang lebih teliti supaya RUU URA benar-benar menepati matlamat asal iaitu membawa kemajuan yang seimbang, inklusif dan berpaksikan rakyat.

“Keutamaan UMNO/BN jelas, iaitu mempertahankan hak rakyat tanpa menghalang arus pembangunan. Inilah perjuangan yang akan terus dibawa oleh wakil rakyat UMNO/BN di Dewan Rakyat walau berdepan dengan cabaran dan bilangan kerusi yang kecil,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79