Melaka Week @ EXPO 2025 Osaka Ketengah Potensi Pelaburan Negeri Di Peringkat Dunia
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Melaka mencatat sejarah baharu apabila menjadi negeri ketujuh diberi kepercayaan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk mengetengahkan potensi pelaburan serta produk unik negeri itu di pentas dunia melalui penganjuran Melaka Week @ EXPO 2025 Osaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bertemakan “Designing Future Society for Our Lives”, Melaka membawa misi untuk memperkukuh keyakinan global terhadap pensijilan halal Malaysia, sekali gus meneguhkan peranan negara sebagai peneraju halal di Asia Tenggara.
“Sepanjang dua hari pertama pembukaan Melaka Week ini sahaja, kita telah menarik lebih 20,000 pengunjung. Pavilion Malaysia juga mencatat lebih 2.7 juta pengunjung secara keseluruhan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau turut menyaksikan pemeteraian lima memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi dan anak syarikat kerajaan negeri dengan sektor swasta tempatan dan antarabangsa, meliputi bidang kajian dan pendidikan, agrikultur, minuman buah-buahan serta bekalan bahan api bioenergi dengan nilai anggaran RM1 bilion.
Menurut Ab Rauf, usaha memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diberi keutamaan dengan membawa produk tempatan ke Osaka bagi menembusi pasaran antarabangsa serta mengukuhkan rangkaian perniagaan.
“Tahun 2024 sahaja, Melaka berjaya menarik pelaburan berjumlah RM8.18 bilion, melepasi sasaran asal RM5 bilion. Antara projek strategik utama termasuk MCORP High Tech Park, German Technology Park (GTP), ELKAY 2.0 dan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ),” jelasnya.
Ujarnya, kini, lebih 27 syarikat Jepun termasuk Honda, Maruwa, Konica Minolta dan Koa Denko beroperasi di Melaka dalam sektor automotif, elektronik, optik dan pembuatan berteknologi tinggi.
“Melangkah ke hadapan, Melaka bertekad menjadi hab serantau dalam tenaga hijau, mobiliti elektrik, teknologi semikonduktor, logistik pintar serta pelancongan mampan. Kepada para pelabur, kami bukan sekadar menawarkan insentif, tetapi juga lokasi strategik, tenaga kerja berkemahiran dan komitmen jitu untuk kejayaan bersama.
“Semoga Minggu Melaka menambah momentum baharu dan menarik lebih ramai lagi untuk merasai pengalaman Malaysia melalui kaca mata Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online