Kilang Susu Terbesar Di Negeri Sembilan Bakal Lonjak Ekonomi Tempatan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan kilang pemprosesan susu terbesar yang terletak di negeri ini bakal membawa manfaat besar kepada rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata ini kerana ia dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan membuka lebih banyak peluang kepada penduduk setempat.

“Negeri Sembilan harus berbangga kerana memiliki sebuah kilang paling canggih dan terbesar ini.

“Yang paling penting bagi saya pembangunan ladang dan kilang ini mampu memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya.

Jalaluddin berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook beliau berkongsi lawatan kerja yang dilakukan bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu di Pasir Besar, Gemas hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan lawatan kerja beliau ke Huaian City di Jiangsu China pada April tahun lalu bagi melihat sendiri teknologi termoden dalam penyediaan ladang tenusu.

“Mei tahun lalu, saya telah umumkan bahawa sebuah ladang penternakan lembu tenusu dan kilang pemprosesan susu lembu terbesar akan dibina di Pasir Besar, Gemas.

“Hari ini, saya bersama YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah hadir membuat lawatan bagi melihat sendiri keadaan kilang tersebut.

“Diusahakan oleh F&N ditanah seluas 6,000 ekar itu bernilai pelaburan RM1.7 bilion, dan mampu menempatkan 20,000 ekor tenusu dan menghasilkan 100 juta liter susu segar setiap tahun,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79