BN Forum: AI Salah Satu Bentuk Kolonialisme Baharu
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Kecerdasan buatan (AI) dilihat sebagai salah satu bentuk kolonialisme dan imperialisme era baharu pada ketika dunia mengecapi kemajuan teknologi yang semakin berkembang.
Pensyarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, untuk menentang kolonialisme, Malaysia perlu berusaha menyokong gerakan menubuhkan dunia multipolar.
“Kita perlu berusaha untuk menyokong satu dunia yang multipolar. Sekarang ini ada gerakan untuk menubuhkan dunia multipolar. Bukan Rusia, Amerika dan China tetapi merangkumi semua ini termasuk juga konsep ‘Eurasia’ iaitu Europe dan Asia.
“Konsep Eurasia ini sedang muncul dalam masa sepuluh tahun kebelakangan, merangkumi sebahagian daripada Rusia, Asia Tengah (Kazakhstan, Uzbekistan, Azerbaijan dan lain-lain), sebahagian dari China untuk mengimbangi kuasa-kuasa lain,” katanya ketika wawancara Better Nation (BN) Forum ke-7: Kemerdekaan Dan Cabaran Kolonialisme Baru.
Ujarnya, ia untuk mengimbangi pencerohohan yang akan ataupun sedang dilakukan oleh kolonialisme baru.
“Ini satu perkara yang kita perlu sebagai intelektual Malaysia sokong. Sekarang dah habis perang dunia kedua, perang dingin… sekarang kita masuk kepada satu era yang baharu dan ia telah dicampur aduk oleh kecerdasan buatan (AI).
“AI merupakan satu jenis kolonialisme baru dan imperialisme yang tidak nampak. Ia bukan teknologi, ia satu roh yang hari-hari menjelma dan memberitahu apa yang perlu kita fikirkan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Danny Wong Tze Ken berkata, kolonialisme tidak akan tamat dengan kemerdekaan dan ia membawa sesebuah negara tersebut untuk masuk ke fasa ‘hampir separa kolonialisme’.
“Prof John Paul Seattle mengatakan bahawa sebenarnya kolonialisme tidak akan tamat dengan kemerdekaan. ‘Political independence’ adalah permulaan tetapi ia tidak bermaksud kita ini merdeka. Sebaliknya, kita masuk ke tahap ‘almost semi colonialisme’.
“Neokolonialisme adalah kolonialisme baru dalam bentuk berlainan, bukan lagi perjuangan politik untuk kemerdekaan tetapi berhadapan dengan dominasi barat, kuasa besar ke atas kita dalam ekonomi, budaya, cara hidup kita termasuk media massa dan sebagainya. Inilah yang disebutkan sebagai neokolonialisme yang bakal membelenggu kita sampai hari ini,” katanya.
Tambahnya, negara dan bangsa perlu berdikari untuk menentang neokolonisme yang telah dan sedang berlaku pada ketika ini.
“Hari ini kita masih berhadapan dengan cabaran tersebut kerana tanpa sedar, kita masih kekal dan tidak dapat keluar daripada belenggu penjajahan. Kita selalu bangga dengan kemerdekaan. Tetapi sebenarnya kita tidak merdeka sepenuhnya.
“Pada saya, kalau kita imbas kembali, saya rasa apa yang dicadangkan oleh Seattle adalah benar. Itu sebabnya di negara kita satu masa dahulu ada pemimpin yang sangat-sangat kuat menentang neokolonialisme. Negara dan bangsa kita perlu berdikari. Apabila kita melihat negara-negara tertentu, yang ditekankan adalah berdikari (untuk menentang neokolonisme),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pensyarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr Ahmad El-Muhammady berpandangan bahawa penjajahan minda adalah bentuk penjajahan yang paling sukar untuk dilawan.
“Penjajahan yang paling susah sekali kita nak lawan ialah penjajahan minda kerana ia berlaku dalam bentuk sangat halus dari segi ilmu sebab ia tidak masuk dengan cara yang kasar dan ‘tangible’. Tetapi ia datang dalam bentuk idea, ilmu dan ekonomi.
“Dalam peristiwa Brexit umpamanya. Kenapa Trump di Amerika menjadi begitu popular? Bangsa Amerika merasa bahawa mereka ini dalam keadaan bahaya dan oleh itu mereka mengambil keputusan untuk Brexit. Kemudian Trump datang mengambil peluang dalam keadaan masyarakat Amerika yang hilang arah tuju mengatakan ‘yes, make Amerika great again’. Ini adalah satu bentuk penjajahan. Apabila datangnya idea bangsa lain datang ke tempat kita untuk jajah, di sinilah akan ‘spark’ api pelampau.
“Perbincangan tentang kemerdekaan ini sangat-sangat tepat pada masanya kerana kita perlu berfikir apakah identiti kita dan di mana kita akan membawa kemanusiaan ke depan. Adakah dengan ‘give up’ identiti kita sebagai manusia dan memberikan kepada AI sebagai penjajah baru?” soalnya. – UMNO Online