RUU URA: Puteri UMNO Damansara Suarakan Kebimbangan

DAMANSARA, 28 Ogos – Puteri UMNO menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dilihat berisiko menjejaskan hak pemilikan rumah masyarakat Melayu di kawasan bandar sekiranya tidak dilaksanakan secara telus.

Ketua Puteri UMNO Cawangan Ara Jaya, Nur Yuzlieana Mohd Yusoff berkata pihaknya melihat isu ini sebagai satu perkara yang dekat di hati, memandangkan ramai pemilik rumah di kawasan bandar terdiri daripada masyarakat Melayu.

“Puteri berharap agar akta ini benar-benar telus dan tidak memperjudikan nasib pemilikan rumah orang Melayu bandar. Kami tidak mahu mereka terpinggir atau disisihkan akibat pelaksanaan yang tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Menurut beliau, pemilik unit rumah flat dan bangunan strata berdepan cabaran besar jika terpaksa mengikut suara majoriti untuk melepaskan hak pemilikan demi memberi laluan kepada proses naik taraf bangunan atau tujuan komersial.

Justeru, beliau menegaskan kepentingan memastikan klausa berkaitan ruang perundingan dibuat dengan telus, tanpa sebarang paksaan, serta memberi jaminan pampasan setimpal sama ada dalam bentuk wang ringgit atau unit rumah alternatif yang setara dengan nilai pasaran.

“Orang Melayu perlu lebih cakna terhadap perkara ini kerana ia melibatkan kelangsungan hidup mereka. Jangan hanya tunggu untuk disuap dan akhirnya meratib apabila semuanya sudah terlambat,” katanya.

Puteri UMNO Damansara menegaskan pihaknya akan terus memperjuangkan hak masyarakat Melayu bandar agar tidak terpinggir dalam pelaksanaan sebarang dasar pembangunan semula bandar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79