Teliti Secara Mendalam Implikasi URA, Mampu Bebankan Warga Bandar – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah membantah sekeras-kerasnya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang disifatkannya sebagai satu bentuk penindasan terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) di bandar.

Menurutnya, cadangan pengambilan semula tanah dalam tempoh 30 tahun adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya merompak maruah rakyat atas nama pembangunan.

“Pengambilan semula tanah dalam masa 30 tahun adalah satu pengkhianatan yang merompak maruah rakyat miskin di bandar atas nama pembangunan.

“Kajian mana yang mereka guna pakai dalam sesi libat urus yang mencadangkan pengambilan tanah oleh kerajaan boleh dibuat dalam 30 tahun. Mereka tahu atau tidak di mana ada peminjam mengambil masa 35 tahun bagi pembayaran rumah mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut kata Armand menyeru semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Dewan Negara agar meneliti secara mendalam implikasi RUU tersebut serta menolak pelaksanaannya.

“Ia adalah penindasan secara tersirat kepada warga kota, lebih-lebih lagi kepada golongan B40. Sebagai wakil rakyat, mereka wajib menolak RUU ini,” katanya lagi.

Tambah Armand, sekiranya RUU URA dilaksanakan ia bererti pemilik tanah yang memiliki aser tersebut akan berhadapan tiga kali pengambilan semula aset mereka.

“Jika RUU – URA ini dilaksanakan bermakna pihak tuan tanah yang mempunyai aset tersebut akan lalui tiga kali pengambilan semula aset mereka. Adakah mereka perlu mengambil pinjaman semula jika RUU URA ini dilaksanakan.

“Banyak perkara masih samar dalam perlaksanaan RUU URA ini , tetapi secara dasarnya saya melihat ini hanya akan membebankan rakyat malah boleh menambah masalah kesihatan mental atas sebab tekanan dalam perlaksanaan RUU URA ini,” katanya lagi.

Pada masa sama Armand harap kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Kerajaan Madani menangguhkan pelaksanaan RUU URA sehingga maklumat serta mekanisme pelaksanaannya benar-benar jelas.

“Saya mohon kepimpinan utama UMNO/BN dan kerajaan Madani untuk tidak laksanakan RUU URA ini sehingga mendapat maklumat dan cara perlaksanaan yang tidak membebankan rakyat dalam jangka masa panjang.

“Ia masih banyak lagi kajian dan perancangan serta perlu meluaskan lagi sessi libat urus bersama badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, pemimpin kawasan, agensi-agensi yang terlibat, masyarakat dan media bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,” ujarnya.

Ujarnya lagi, beliau tidak tolak pembangunan dan permodenan tapi ia harus mengambil kira kepentingan rakyat secara keseluruhan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79