RUU Akta Pendaftaran Negara: Tampin Bangkit Isu Keselamatan Pangkalan Data
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa telah membangkitkan isu mengenai keselamatan pangkalan data ketika sesi perbahasan Akta Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendaftaran Negara (Pindaan 2005).
Ujarnya, data yang terlibat adalah jenis biometrik dan ia tidak boleh ditukar ganti seumur hidup sekiranya berlaku kes kebocoran maklumat.
“Umum mengetahui, rakyat masih trauma dengan pelbagai kes kebocoran maklumat dan data peribadi. Bezanya kali ini, data yang terlibat adalah data jenis biometrik yang tidak boleh ditukar ganti seumur hidup.
“Sehubungan itu, saya ingin mengetahui apakah pelan kementerian untuk memastikan pangkalan data yang akan digunakan benar-benar selamat? Adakah audit bebas keselamatan siber bakal diwajibkan setiap tahun dan apakah pelan tindak balas kementerian jika berlaku sebarang kebocoran data?
“Perkara ini perlu dijelaskan agar tidak timbul isu keraguan atau ketidakpercayaan kerana hal ini melibatkan kepentingan orang ramai,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menzahirkan sokongan terhadap pindaan RUU tersebut dan menggesa agar beberapa langkah keselamatan dikuatkuasa untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
“RUU ini penting untuk memodenkan sistem pendaftaran negara tetapi ia juga membawa implikasi besar kepada privasi, kebebasan, kos rakyat dan keselamatan data nasional.
“Maka, saya menggesa agar beberapa ‘safeguards’ dimasukkan. Termasuklah perlindungan data yang jelas, audit bebas keselamatan siber dan prosedur alternatif bagi mereka yang tidak mampu menyerahkan biometrik.
“Dengan pindaan dan jaminan yang wajar, barulah rakyat akan yakin bahawa transformasi identiti digital negara ini benar-benar memberi manfaat, bukannya membawa mudarat,” katanya lagi. – UMNO Online