Pemuda UMNO Pelopor Utama Dalam Medan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO yang menyambut ulang tahun penubuhannya ke-76 disifatkan sebagai tulang belakang dalam memperjuangkan nasib bangsa, kata Ketua Penerangannya, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Beliau berkata sayap parti ini juga bukan sekadar meneruskan legasi, namun tampil sebagai pelopor utama dalam medan perjuangan.

“Pemuda UMNO bukan sekadar pewaris, tetapi pejuang di barisan hadapan. Kita bukan menunggu perubahan, kitalah pencetus perubahan.

“76 tahun perjalanan ini membuktikan Pemuda UMNO sentiasa menjadi nadi perjuangan bangsa.

“Dari medan menuntut kemerdekaan, hingga ke cabaran masa kini, Pemuda UMNO tetap gagah mempertahankan agama, bangsa dan tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang dalam pada itu menyeru akar umbi Pemuda UMNO untuk terus memperkukuh parti.

Katanya, ia penting bagi memastikan aspirasi perjuangan kepada rakyat dapat terus dilaksana.

“Kini, kita harus tampil dengan lebih keberanian, bersuara dengan lebih tegas, dan berdiri teguh dalam kesatuan. Pemuda UMNO merupakan lidah rakyat, pemacu perubahan, dan pencorak arah masa depan.

“Hari ini kita mesti lebih berani, lebih lantang, dan lebih bersatu. Pemuda UMNO adalah suara rakyat, penggerak kebangkitan, dan penentu masa depan.

“76 tahun bukan noktah perjuangan, tetapi pembuka jalan untuk kebangkitan yang lebih besar. Inilah masanya kita buktikan. Pemuda UMNO tidak pernah lemah, tidak pernah goyah, dan tidak pernah lari dari medan perjuangan,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79