Malaysia Dan Negara Sepemikiran Tekad Tangani Isu Islamofobia – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Malaysia mengambil pendirian tegas dengan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang insiden Islamofobia dan menggesa masyarakat antarabangsa mengukuhkan usaha bagi mencari jalan penyelesaian bersama untuk memerangi Islamofobia dengan lebih berkesan.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia secara konsisten menegaskan komitmen tidak berbelah-bahagi dan telah menaja bersama beberapa Resolusi Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Hak Asasi Manusia yang berkaitan dengan Islamofobia.

Katanya, Islamofobia harus ditangani pada peringkat akar umbi yang memerlukan penglibatan semua pihak di pelbagai peringkat.

“Malaysia telah mengutarakan pendirian kukuh terhadap Islamofobia melalui Kenyataan-kenyataan Negara di mesyuarat-mesyuarat PBB, Majlis Hak Asasi Manusia dan OIC. Malaysia juga mengutuk Islamofobia sebagai satu bentuk baharu perkauman yang berkaitan dengan xenofobia, pemprofilan negatif dan stereotaip umat Islam.

“Malaysia juga bekerjasama dengan negara-negara sepemikiran seperti Iraq, Pakistan, Rusia, Türkiye dalam menaja kenyataan bersama, yang antara lain mengecam tindakan Islamofobia dan menekankan kepentingan untuk meningkatkan usaha memerangi Islamofobia selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan mengambil langkah segera untuk memastikan akauntabiliti.

“Pada Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC ke-51 pada 21 Jun 2025 di Istanbul baru-baru ini, Malaysia bersama-sama Negara-negara Anggota OIC telah menerima pakai Deklarasi Istanbul. Melalui Deklarasi tersebut, Malaysia dan Negara-negara OIC telah menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan fenomena Islamofobia yang merupakan satu bentuk perkauman dan diskriminasi,” katanya di Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Senator Datuk Ros Suryati Alang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan ketegasan Malaysia dalam menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan Islamofobia berikutan normalisasi sentimen anti-Islam semakin digunakan untuk mewajarkan serangan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kimanis menambah Malaysia komitmen dengan kesungguhan masyarakat antarabangsa terhadap isu Islamofobia ini malah pihak PBB dan OIC telah melantik wakil khas masing-masing bagi memerangi isu tersebut.

“Sebagai tanda komitmen dan kesungguhan masyarakat antarabangsa terhadap isu ini, PBB dan OIC telah melantik wakil khas masing-masing bagi memerangi Islamofobia (TYT Miguel Angel Moratinos Cuyaubé, United Nations Special Envoy to Combat Islamophobia dan TYT Ambassador Mehmet Paçaci, Special Envoy of the OIC Secretary General on Islamophobia).

“Di peringkat nasional, Malaysia juga telah melantik Penasihat Khas bagi Pembangunan Keamanan, Pendamaian dan Memerangi Islamofobia, Dr. Abdul Razak Ahmad,” katanya lagi.

Seterusnya kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, Malaysia akan meneruskan kerjasama rapat dengan semua pihak dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini.

“Kerjasama pelbagai pihak adalah amat penting dalam memupuk budaya toleransi dan membentuk masyarakat dunia yang menghormati kepelbagaian agama dan kepercayaan,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79