76 Tahun… Satu Perjalanan Panjang Penuh Sejarah Perjuangan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Ketua Wanita UMNO Bahagian Mersing, Malatimah Bandi menyifatkan 76 tahun keberadaan Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO sebagai satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah perjuangan.

Ujarnya, dua sayap penting UMNO ini telah memainkan peranan besar dalam perjuangan parti dan negara sejak ia ditubuhkan dengan membawa misi masing-masing.

“Salam perjuangan. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita diberi peluang untuk sama-sama menyambut ulang tahun ke-76 penubuhan dua sayap penting dalam UMNO, Wanita dan Pergerakan Pemuda yang telah memainkan peranan besar dalam perjuangan parti dan pembangunan negara.

“Wanita UMNO sejak dahulu hingga kini terus menjadi tonggak kekuatan parti dan barisan hadapan yang tidak pernah lelah turun padang, mendampingi rakyat, dan menjadi suara penyayang serta penyatu dalam perjuangan UMNO.

“Jiwa dan semangat juang Wanita tidak pernah luntur meskipun berdepan pelbagai cabaran zaman,” katanya kepada UMNO Online.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO pula menjadi tunjang pelapis kepimpinan dan masa depan anak muda serta menjadi obor harapan generasi pewaris perjuangan.

“Pergerakan Pemuda UMNO pula sebagai tunjang pelapis kepimpinan dan masa depan anak muda. Mereka terus menggembleng usaha dan tenaga untuk menjadi obor harapan generasi pewaris perjuangan.

“Semangat mereka yang sentiasa berkobar-kobar dalam membawa idealisme perjuangan, memperjuangkan isu rakyat dan mempertahankan maruah agama, bangsa serta tanah air adalah bukti bahawa legasi UMNO terus subur dalam jiwa anak muda.

“Pergerakan Pemuda UMNO juga membawa semangat dan iltizam baharu agar sentiasa bersesuaian dengan perkembangan zaman,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru agar Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyemarakkan semangat perjuangan dengan kesatuan agar parti terus kekal relevan pada masa akan datang.

“76 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Ia adalah satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah perjuangan, jatuh bangun, pengorbanan dan kejayaan. Kita tidak boleh melupakan jasa dan sumbangan generasi terdahulu yang telah meletakkan asas yang kukuh bagi kita meneruskan perjuangan ini.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat perjuangan ini dengan kesatuan hati, keikhlasan niat dan kekuatan tindakan, agar UMNO terus kekal relevan dan menjadi pembela sebenar rakyat Malaysia. Selamat Menyambut Ulang Tahun Ke-76 Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO,” katanya lagi.

Untuk rekod, Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO telah menyambut ulang tahun ke-76 masing-masing ada 25 dan 26 Ogos.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1949, kedua-dua sayap ini turut diserikan dengan kehadiran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pada tahun 2001.

Ketiga-tiga sayap ini memainkan peranannya yang tersendiri, mendekati para pengundi mengikut lapisan umur untuk memastikan UMNO kekal relevan dalam menghadapi kedinamikan politik yang semakin mencabar. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79