Wanita UMNO Terus Jadi Nadi Perjuangan Parti
KOTA KINABALU, 26 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Musliati Moslimin menegaskan bahawa Wanita UMNO kekal menjadi tunjang dan tulang belakang perjuangan parti sejak awal penubuhannya 76 tahun lalu.
Menurut beliau, sepanjang lebih tujuh dekad, Wanita UMNO telah memainkan peranan besar dalam memperjuangkan hak rakyat, memperkukuh kedudukan wanita dalam masyarakat serta memastikan suara kaum hawa terus didengari dalam arus pembangunan negara.
“Semangat juang, keikhlasan berkhidmat serta kesetiaan yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan dan seluruh ahli Wanita UMNO menjadi nadi kekuatan parti hingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena Ulang Tahun Wanita UMNO Malaysia ke-76.
Musliati yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu menambah, usia yang semakin matang ini harus dijadikan kekuatan untuk terus istiqamah memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.
“Semoga sayap Wanita akan terus melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa, menjadi penggerak utama di semua peringkat, selain menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menyambung perjuangan ini,” ujarnya. – UMNO Online