UMNO Fokus Perkukuh Jentera Media Sosial Hadapi PRN Sabah – Azalina
KOTA KINABALU, 26 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa media sosial akan menjadi medan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung.
Menurut Azalina, perkembangan teknologi komunikasi yang begitu pantas menuntut jentera penerangan parti supaya lebih bersedia dalam berdepan cabaran perang politik di alam maya.
“Kelajuan dan kepantasan menjadi cabaran terbesar dalam media sosial. Jika lambat menjawab isu, ia boleh merosakkan imej parti. Dalam politik hari ini, siapa cepat, dia yang akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Manual Gerak Kerja Penerangan UMNO Malaysia/Barisan Nasional (BN) yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi menegaskan bahawa manual ini diwujudkan bagi memastikan setiap lapisan jentera penerangan UMNO di peringkat akar umbi hingga ke kepimpinan negeri mempunyai panduan jelas untuk mendepani PRN.
“Yang penting kita mahu menang. Maka jentera media sosial perlu aktif, tersusun dan strategik. Persediaan bukan sahaja di peringkat pusat, tetapi mesti digerakkan secara aktif hingga ke akar umbi,” ujarnya.
Azalina turut mengingatkan bahawa pengundi pada masa kini berbeza berbanding dahulu, justeru keupayaan menjawab dan menguasai wacana media sosial menjadi penentu kekuatan parti.
“Dengan adanya akta lompat parti, kedudukan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri, serta kepimpinan UMNO Sabah di bawah Datuk Bung Moktar yang lebih kukuh, kita masuk gelanggang PRN dengan lebih bersedia,” katanya.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir bersama pimpinan penerangan UMNO di empat peringkat negeri itu. – UMNO Online