Ulang Tahun Wanita, Pemuda: Semarakkan Semangat Perjuangan Dengan Kesatuan Hati

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ketua Wanita UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Dr Zurainah Musa menyeru agar sayap Wanita dan Pergerakan Pemuda bersama-sama menyemarakkan semangat perjuangan dengan kesatuan hati sempena ulang tahunnya yang ke-76.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau berkata, penubuhan dua sayap tersebut amat penting dalam parti dan memainkan peranan besar untuk membangunkan negara secara amnya.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita diberi peluang untuk bersama-sama menyambut ulang tahun ke-76 penubuhan dua sayap penting dalam UMNO, Wanita dan Pergerakan Pemuda, yang telah memainkan peranan besar dalam perjuangan parti serta pembangunan negara.

“Wanita UMNO sejak dahulu hingga kini terus menjadi tonggak kekuatan parti dan barisan hadapan yang tidak pernah lelah turun padang, mendampingi rakyat, menjadi suara penyayang serta penyatu dalam perjuangan UMNO. Jiwa dan semangat juang Wanita tidak pernah luntur meskipun berdepan pelbagai cabaran zaman.

“Pergerakan Pemuda UMNO pula terus menjadi obor harapan generasi pewaris perjuangan. Semangat mereka yang sentiasa berkobar-kobar dalam membawa idealisme, memperjuangkan isu rakyat dan mempertahankan maruah agama, bangsa serta tanah air adalah bukti bahawa legasi UMNO terus subur dalam jiwa anak muda,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut berpandangan bahawa jasa dan sumbangan generasi terdahulu sehingga kukuhnya asas perjuangan tersebut tidak boleh dilupakan.

“76 tahun bukanlah tempoh yang singkat. Ia adalah satu perjalanan panjang yang penuh dengan sejarah perjuangan, jatuh bangun, pengorbanan dan kejayaan. Kita tidak boleh melupakan jasa dan sumbangan generasi terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh untuk kita meneruskan perjuangan ini.

“Justeru, marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat perjuangan ini dengan kesatuan hati, keikhlasan niat dan kekuatan tindakan, agar UMNO terus kekal relevan serta menjadi pembela sebenar rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79