Tindakan Israel Ke Atas Gaza Merupakan Penjajahan Moden, Zalim

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Malaysia sekali lagi menyuarakan pendirian tegas bahawa tindakan Israel ke atas Gaza merupakan bentuk penjajahan moden yang zalim dan mencemari segala usaha diplomasi di peringkat antarabangsa, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika mewakili Malaysia di Sesi Tergempar Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi.

Menurut beliau, Israel juga secara berterusan enggan menghormati perjanjian gencatan senjata, serta menyekat bantuan kemanusiaan.

“Mereka bukan sahaja enggan patuhi gencatan senjata, malah terus membedil kawasan perumahan, sekolah, hospital, dan zon pemindahan selain menghalang bantuan kemanusiaan sehingga rakyat Gaza kebuluran.

“Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian jelas bahawa tindakan Israel terhadap Gaza adalah penjajahan moden yang zalim serta penghinaan terhadap segala usaha diplomasi dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau seterusnya mengajak masyarakat global untuk terus membawa suara rakyat Gaza bagi memberi tekanan kepada Israel dan rakan sekutunya untuk membebaskan Palestin.

“Saya juga menyeru agar dunia tidak berhenti bersuara sehingga Palestin benar-benar mencapai kemerdekaan dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” ujar beliau.

Mesyuarat OIC itu diadakan sebagai tindak balas terhadap operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza, dengan tujuan menyelaras pendirian serta tindakan negara anggota terhadap krisis itu.

Pertubuhan itu mewakili 57 negara majoriti Islam. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79