Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Platform Perkasa, Angkat Suara Wanita

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Sempena Hari Wanita Kebangsaan 2025, Wanita UMNO Malaysia dengan kerjasama Kelab JELITA telah menganjurkan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa (IWLB) bertemakan ‘Wanita dan Kerjaya’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini baru-baru ini.

Ibu Pejabat Wanita UMNO Malaysia dalam satu kenyataan kepada UMNO Online berkata, program ini menghimpunkan hampir 1,000 peserta wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Wanita adalah tonggak keluarga, masyarakat dan negara. Program IWLB diharap menjadi platform memperkukuh solidariti, memperkasakan wanita serta mengangkat suara mereka dalam isu-isu penting demi masa depan yang lebih harmoni,” kata kenyataan itu.

Tambah Ibu Pejabat Wanita UMNO Malaysia, majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Kempen Anti Buli, sebagai simbol komitmen Wanita UMNO Malaysia dalam menangani isu sosial yang kian membimbangkan.

“Kempen ini memberi mesej jelas tentang bahaya buli serta menggerakkan suara wanita sebagai agen perubahan bagi membentuk masyarakat yang lebih selamat dan inklusif,” kata kenyataan itu.

Hadir sama Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan barisan kepimpinannya.

Selanjutnya menurut kenyataan itu lagi, selain kempen anti buli, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk Bual Bicara ‘Dari Wanita untuk Wanita’, zumba bertema Wanita dan Kerjaya, Sarapan Rahmah percuma untuk 1,000 peserta pertama, cabutan bertuah serta reruai jualan usahawan wanita. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79