Penubuhan Jawatankuasa Khas Bendung Gejala Buli Tindakan Tepat – ADUN Parit Yaani

BATU PAHAT, 26 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohd Najib Samuri menyifatkan langkah Kerajaan Negeri Johor menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah sebagai tindakan tepat dan wajar disokong semua pihak.

Menurut beliau, jawatankuasa yang akan diselia di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu berperanan merangka tindakan holistik dalam usaha mengekang gejala tidak sihat tersebut daripada terus menular.

“Kita tidak boleh membiarkan insiden buli sehingga ada mangsa terbunuh, tertekan dan berdepan trauma panjang, dibiarkan menjadi satu budaya yang tidak terkawal dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap beberapa insiden buli yang menggemparkan negara, termasuk kes melibatkan pelajar sekolah di Sabah, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bulan lalu, serta kes Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, beberapa tahun lalu.

“Insiden seperti ini perlu menjadi iktibar dan pengajaran kepada semua pihak. Usaha membendung gejala buli menuntut komitmen teguh daripada kerajaan, warga pendidik, ibu bapa serta komuniti setempat,” katanya.

Mengulas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Mohd Najib berkata kawasan itu turut menempatkan beberapa sekolah menengah dan rendah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

”Justeru risiko berlakunya kes buli tidak boleh dipandang ringan. Kita tidak boleh membiarkan generasi masa depan terbiasa dengan budaya buli, sama ada secara fizikal mahupun lisan. Perilaku ini boleh mendorong kepada tindakan lebih ganas termasuk sanggup mencederakan atau membunuh rakan sendiri jika tidak dikawal,” tegasnya.

Mohd Najib dalam pada itu turut menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750], yang telah diwartakan pada 7 Mac lalu.

“Melalui seksyen baharu 507B hingga 507G, isu buli, gangguan, penghinaan dan penyalahgunaan maklumat identiti kini ditangani secara khusus dengan hukuman berat termasuk bagi kes buli dalam talian,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi atas tindakan segera menubuhkan jawatankuasa khas berkenaan.

“Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri. Diharap usaha ini mampu merangka solusi lebih tegas ke arah mencapai sifar kes buli di Johor,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Najib turut turun padang ke sekolah dalam usaha menjayakan kempen perangi buli di peringkat DUN Parit Yaani.

“Sebagaimana yang telah dititahkan oleh Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor bersama seluruh Bangsa Johor mengambil pendirian yang tegas untuk menolak dan memerangi gejala buli di seluruh negeri Johor.

“Dalam Kempen Perangi Buli, peringkat DUN Parit Yaani, yang telah diadakan di SMK Tunku Putra semalam saya menyampaikan amanat dan hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, supaya gejala buli ini mesti dihapuskan.

“Bersama-sama kita buktikan bahawa Bangsa Johor bukan sahaja juara dalam pembangunan dan ekonomi, tetapi juga juara dalam nilai-nilai murni dan berakhlak mulia. Buli bukan budaya kita,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79