Pemuda UMNO Pewaris Legasi Sebuah Perjuangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO selama lebih tujuh dekad penubuhannya menjadi lidah paling lantang dalam parti dan tenaga paling ampuh rakyat dalam melakukan pembelaan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebagai pemimpin yang lahir dari kilang Pemuda, beliau amat memahami kepelbagaian latar dan kerencaman yang ada di dalam institusi ini.

“Kita dihimpunkan sebagai pewaris legasi sebuah perjuangan ini atas semangat kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanah air.

“Hari ini, cabaran Pemuda lebih rumit. Lawan kita bukan sekadar parti politik, tetapi algoritma media sosial, persepsi yang dimanipulasi dan politik pasca-kebenaran yang mengangkat sentimen melebihi fakta,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Jelas Ahmad Zahid lagi, kini Pemuda tidak boleh hanya menjadi barisan sorak namun harus mencipta game changer serta menjadi narrative engine yang membina wacana, membentuk pengaruh dan menguasai psikologi massa.

“Berbeza pandangan dalam parti itu biasa, kritikan itu tanda cakna tetapi fokus paling utama adalah bagaimana Pemuda mendekati generasi Z dan Alpha agar mereka merasai bahawa UMNO memahami dan menjiwai kehendak serta menjadi sandaran mereka,” ujar beliau.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri Sabah, beliau juga berharap Pemuda UMNO menjadi benteng hadapan dalam melaksanakan gerak kerja sebaiknya.

“Dengan semangat juang yang tidak pernah padam agar kita kekal relevan dan dapat terus menabur khidmat bakti dan jasa.

“Semoga ulang tahun ke-76 ini menjadi pemangkin untuk Pemuda memperkukuh saf, memperluas pengaruh dan melakar kejayaan yang lebih besar buat UMNO dan Malaysia tercinta,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79