Pemuda UMNO Penggerak Aspirasi Anak Muda – Dr Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Tanggal keramat ini bukan sahaja mengingatkan kepada detik lahirnya sebuah gerakan anak muda yang menjadi tunjang perjuangan parti, malah ia membuktikan betapa panjangnya perjalanan Pemuda UMNO dalam mendepani cabaran bangsa, agama dan tanah air.
Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, sejak penubuhannya, Pemuda UMNO telah melahirkan ramai bakat-bakat anak muda yang berani, tegas dan berprinsip, sekali gus mencorakkan arah tuju negara dalam pelbagai bidang.
“Pemuda UMNO melahirkan ramai tokoh pemimpin yang berani, tegas dan berprinsip, sekali gus mencorakkan arah tuju negara dalam pelbagai bidang. Pemuda menjadi suara hati rakyat, penggerak aspirasi anak muda dan benteng pertahanan kepada maruah bangsa.
“Di usia 76 tahun, Pemuda UMNO terus komited mendepani cabaran zaman dengan semangat baharu, mendengar denyut nadi generasi muda, memperjuangkan keadilan sosial, membela rakyat yang terhimpit dengan isu kos sara hidup, serta memperkukuhkan agenda perpaduan nasional.
“Perjalanan ini bukanlah mudah… namun, dengan kekuatan saf kepimpinan di semua peringkat, semangat juang yang diwarisi daripada pejuang terdahulu, serta keyakinan bahawa perjuangan kita adalah demi agama, bangsa dan negara. Pemuda UMNO akan terus menjadi wadah politik anak muda yang relevan dan dihormati,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut Dr Anil yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu menjelaskan, Pemuda UMNO perlu dijadikan ruang muhasabah dan penyatuan tekad seluruh saf kepimpinan serta ahli di setiap peringkat.
“Perjuangan Pemuda UMNO tidak boleh leka dengan cabaran semasa, sebaliknya perlu kekal berani kerana benar, tegas kerana prinsip serta istiqamah dalam membawa suara anak muda dan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
“Marilah kita jadikan ulang tahun ke-76 ini sebagai titik muhasabah dan penyatuan tekad. Pemuda UMNO tidak boleh leka, sebaliknya perlu terus berani kerana benar, tegas kerana prinsip dan istiqamah dalam perjuangan,” ujarnya. – UMNO Online