Lebih Tujuh Dekad Berjuang, Wanita UMNO Kekal Teguh – Haslinda

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Exco Wanita UMNO, Haslinda Salleh menzahirkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan ahli Wanita UMNO yang telah memainkan peranan besar dalam perjuangan parti sejak lebih tujuh dekad lalu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Haslinda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, Wanita UMNO telah menjadi tonggak penting dalam memperjuangkan agenda pembangunan wanita, memperkukuh institusi keluarga serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah diucapkan kepada seluruh kepimpinan dan ahli Wanita UMNO atas peranan besar yang telah dimainkan selama lebih tujuh dekad dalam memperjuangkan agenda pembangunan wanita, memperkukuh institusi keluarga serta mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Sejak penubuhannya, Wanita UMNO telah menjadi tonggak penting dalam menggerakkan perjuangan parti dan membina kekuatan akar umbi yang utuh. Kekuatan dan keteguhan Wanita UMNO dalam mendepani cabaran zaman amat dihargai dan terus menjadi inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang.

“Semoga Wanita UMNO terus melangkah gagah ke hadapan dengan penuh iltizam, profesionalisme dan semangat juang yang tinggi dalam meneruskan legasi perjuangan yang murni. Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-76 Wanita UMNO,” katanya.

Untuk rekod, Wanita dan Pergerakan Pemuda UMNO telah menyambut ulang tahun ke-76 masing-masing ada 25 dan 26 Ogos.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1949, kedua-dua sayap ini turut diserikan dengan kehadiran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pada tahun 2001.

Ketiga-tiga sayap ini memainkan peranannya yang tersendiri, mendekati para pengundi mengikut lapisan umur untuk memastikan UMNO kekal relevan dalam menghadapi kedinamikan politik yang semakin mencabar. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79