Konflik Timur Tengah: Jejas Kestabilan Serantau Dan Global – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan Malaysia sentiasa mengikuti rapat dan memandang serius perkembangan geopolitik yang semakin tegang di Timur Tengah, khususnya konflik Israel-Palestin, serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas Gaza serta peningkatan ketegangan antara Israel dan beberapa negara serantau.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, setakat ini, konflik di Palestin telah mengorbankan lebih 60,000 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 150,000 yang lain terutamanya wanita dan kanak-kanak serta begitu juga konflik Timur Tengah turut mengorbankan ribuan yang lain termasuk di Lubnan, Iran dan Syria.

“Situasi dan ketidaktentuan di Timur Tengah ini bukan sahaja memberi kesan kepada kestabilan serantau dan global, malah turut menimbulkan implikasi kepada kepentingan Malaysia dari segi ekonomi, perdagangan, tenaga serta keselamatan rakyat Malaysia di rantau berkenaan.

“Dasar luar Malaysia terhadap Timur Tengah adalah bersifat menyeluruh, berprinsip dan pragmatik. Malaysia mengekalkan hubungan yang konstruktif dengan semua pihak di rantau tersebut, berdasarkan prinsip keamanan, keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia juga kekal peka terhadap perubahan landskap geopolitik semasa dan menyesuaikan pendekatan dasar luarnya demi melindungi kepentingan negara,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan penilaian semasa Kementerian berhubung perkembangan konflik bersenjata di Timur Tengah.

Persoalan tersebut adalah berhubung adakah Malaysia merancang untuk menyemak dasar luar negara berkaitan Timur Tengah bagi melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan dan rakyat Malaysia di rantau tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menambah Malaysia memilih untuk mengambil pendekatan diplomatik dan menggalakkan dialog terbuka, selaras dengan prinsip negara untuk menjadi jambatan dialog dan penyumbang kepada keamanan serantau.

“Malaysia turut memperkukuh kerjasama dengan negara-negara serantau yang berkepentingan seperti Jordan, Mesir, Turkiye dan Qatar dalam mencari penyelesaian isu di Timur Tengah, sambil memastikan bahawa suara Malaysia terus dihormati dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

“Malaysia juga komited untuk terus menyokong penyelesaian politik dan rundingan damai sebagai kaedah utama menyelesaikan konflik di Timur Tengah,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, kata Ahli Parlimen Kimanis itu lagi, kerajaan sentiasa giat memainkan peranan penting melalui kerjasama dua hala bagi memastikan keselamatan, ekonomi serta kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

“Kerajaan giat memperkukuh kerjasama dua hala dan pelbagai hala, termasuk melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM); Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN); BRICS dan G20 bagi memastikan keselamatan, kepentingan ekonomi serta kebajikan rakyat Malaysia di rantau tersebut sentiasa terpelihara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79