ITP Bakal Atasi Kekurangan Sumber Kayu Negara – Johari
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Industrial Timber Plantation (ITP) adalah sebuah program penanaman pokok spesis balak pada skala besar untuk membekalkan sumber kayu sebagai bahan mentah kepada industri perkayuan negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, yang menjalankan tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sedang dirangka mekanisma pelaksanaan dan rangka kerja (framework) ITP.
“Penyediaan garis panduan yang komprehensif untuk pihak berkepentingan seperti penanam, pembekal, pengilang, komuniti tempatan, agensi kerajaan, dan lain-lain dalam merancang dan melaksanakan projek ITP.
“Strategi untuk menangani kekurangan bekalan bahan mentah kayu dan penambahan bekalan bahan mentah kayu, komitmen serta penglibatan sektor swasta dan komuniti tempatan.
“Sokongan kawal selia dalam mendapatkan pembiayaan, tanah, pengetahuan teknikal dan penuaian dan pengurusan ladang hutan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan apakah kemajuan yang telah dicapai bagi projek Industri Perladangan Kayu Balak – Industrial Timber Plantation.
Tambah Naib Presiden UMNO itu lagi, belum ada ITP dilaksanakan kerana kerajaan telah menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat untuk menanam ladang hutan.
“Program telah bermula pada tahun 2007 dan setakat ini hampir 147,000 hektar telah dibangunkan dan pinjaman telah diluluskan kepada 88 syarikat untuk program ini.”
Pada masa yang sama kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi, kerajaan juga ada memperkenalkan inisiatif penubuhan ladang hutan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK), merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan dalam memastikan bekalan bahan mentah berterusan.
“Penubuhan ladang hutan bukan sahaja sebagai satu usaha untuk mendapatkan bekalan kayu secara berterusan, malah untuk menggantikan kawasan miskin dan terosot kepada kawasan yang lebih produktif dengan penanaman pokok-pokok dari spesies tempatan atau eksotik yang mempunyai kadar tumbesaran yang cepat dan bermutu tinggi.
“Penubuhan ladang hutan dalam HSK bukanlah merupakan aktiviti penyahutanan (deforestation) kerana aktiviti ini tidak melibatkan penukaran kawasan berhutan secara kekal kepada guna tanah bukan hutan,” katanya.
Ujarnya lagi, sehingga kini, keluasan ladang hutan dalam kawasan HSK di Semenanjung Malaysia sehingga 30 Jun 2025 adalah 259,654.85 hektar yang mana seluas 175,331.75 hektar telah dilaksanakan penanaman semula. – UMNO Online