Wacana Kemerdekaan: Johari Angkat Tiga Peranan Penting Wanita

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengucapkan tahniah kepada Wanita UMNO Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh ketuanya, Nora’Shekin Yusof kerana telah berjaya menganjurkan wacana sempena bulan kemerdekaan pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Johari memaklumkan beliau telah mengetengahkan tiga peranan penting wanita ketika menghadiri program wacana tersebut.

“’Meneruskan Legasi, Membina Masa Depan’. Dalam wacana yang dianjurkan oleh Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, saya telah mengetengahkan tiga peranan penting wanita.

“Pertama, kekuatan membina keluarga. Dari seorang ibulah bermulanya ajaran bahasa, budaya, adab, adat serta ilmu kehidupan. Segala asas pembinaan keluarga bertitik tolak daripada seorang ibu, yang bukan sahaja mendidik malah turut membentuk keperibadian anak-anak.

“Kedua, kekuatan membina masyarakat. Dalam membina masyarakat, peranan wanita dapat dilihat dengan keupayaan mereka menjaga hubungan kejiranan dan mengutamakan keharmonian sosial telah menyumbang kepada kestabilan serta kesejahteraan hidup bermasyarakat di sesuatu penempatan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, wanita turut menjadi tulang belakang kepada ekonomi keluarga di samping sifat sabar, tekun dan daya tahan tinggi.

“Ketiga, kekuatan membina ekonomi. Ramai wanita menjadi tulang belakang kepada ekonomi keluarga dengan berniaga secara kecil-kecilan di rumah atau di kawasan sekitar untuk membantu menampung keperluan isi rumah.

“Manakala dalam skala yang lebih besar, sifat sabar, tekun dan daya tahan tinggi yang mereka miliki telah menjadikan mereka mampu mengurus syarikat-syarikat besar. Ini menjadikan sumbangan wanita sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Tahniah diucapkan kepada Nora’Shekin Yusof, Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan dan semua wanita yang telah menjayakan program yang begitu bermakna sempena bulan kemerdekaan ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79