RUU Bantuan Guaman Cerminan Reformasi Institusi, Berteras Prinsip Keadilan – Shamshulkahar

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli menyifatkan Rang Undang-udang (RUU) Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025 sebagai manifestasi reformasi institusi.

Beliau berkata langkah ini bagi menambah baik perkhidmatan bantuan guaman dan khidmat pembelaan awam khususnya bagi golongan yang kurang berkemampuan.

“Prinsip bahawa keadilan adalah hak semua rakyat tanpa mengira kedudukan ekonomi wajar kita dukung sepenuhnya.

“Jempol menyokong hasrat kerajaan mewujudkan struktur pentadbiran yang lebih tersusun, termasuk pelantikan Ketua Pengarah Bantuan Guaman serta Ketua Pembela Awam, sebagaimana yang termaktub dalam RUU ini.

“Struktur sebegini akan memberikan jaminan dari segi pengurusan yang lebih berfokus, profesional dan bebas daripada campur tangan luar,” katanya.

Shamshulkahar berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-udang (RUU) Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Memanfaatkan peluang tersebut beliau turut sama bertanya sejauh mana jaminan bahawa peguam panel tidak dibebani dengan bebanan kerja.

Menurut Shamshulkahar ini kerana ia memberikan impak kepada prestasi kerja peguam panel tersebut.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa pelaksanaan RUU ini tidak akan menyebabkan peguam panel dibebani dengan jumlah kes yang terlalu tinggi sehingga kualiti pembelaan menurun? Jika beban kerja tidak dikawal, ia boleh membawa kepada ‘case overload’ dan akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat yang dibantu.

“Kedua, apakah terdapat garis panduan khusus berhubung nisbah jumlah kes kepada setiap peguam panel? Tanpa kawalan yang jelas, kita bimbang akan timbul situasi di mana seorang peguam terpaksa mengendalikan banyak kes serentak, lalu tidak mampu memberikan tumpuan yang optimum kepada setiap klien.

“Ketiga, bagaimana kerajaan merancang memantau mutu perkhidmatan guaman yang diberikan? Adakah satu mekanisme audit kualiti atau panel pemantau bebas akan diwujudkan untuk menilai tahap profesionalisme, keberkesanan hujah, serta kepuasan orang yang dibantu? Tanpa pemantauan yang teliti, bantuan guaman ini mungkin hanya akan kelihatan baik di atas kertas,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79