RUU Bantuan Guaman Beri Ruang Keadilan, Khususnya Golongan Kurang Berkemampuan
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 memberikan ruang keadilan, khususnya bagi golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata demikian ketika penggulungan RUU tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini.
“Undang-undang ini akan mewujudkan satu jurang keadilan khususnya bagi golongan miskin dan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan tertuduh yang tidak mampu mendapatkan peguam sendiri.
“Dengan RUU ini, ia akan memodenkan kerangka undang-undang untuk meliputi bukan saja sivil dan syariah, tapi juga pengantaraan dan pendampingan guaman. Buat pertama kali (diperkenalkan) ialah khidmat pembelaan awam,” katanya.
Mengulas lanjut kata beliau RUU ini diperkenalkan bertujuan memansuhkan Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26) dengan cadangan untuk menaik taraf khidmat bantuan guaman dalam prosiding jenayah dengan menamakannya semula sebagai khidmat pembelaan awam.
“Model dicadangkan melalui RUU ini adalah model yang paling sesuai untuk dilaksanakan, memandangkan ia tidak melibatkan penubuhan satu jabatan baharu serta dapat dilaksanakan melalui pindaan undang-undang sedia ada.
“Cadangan model ini juga turut diamalkan beberapa negara maju, negara membangun dan progresif di luar negara. Model ini akan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan pada tahap kos minimum, memandangkan ia tidak akan melibatkan pewujudan organisasi atau pejabat baru,” katanya.
Terdahulu Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang memperuntukkan penubuhan jawatan Ketua Pembelaan Awam serta Pembela Awam.
RUU itu berjaya diluluskan dengan sokongan majoriti selepas perbahasan melibatkan 12 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang. – UMNO Online