Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat Beri Peluang Berterusan Kepada Suri Rumah
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan Dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat memastikan peluang pembelajaran berterusan kepada rakyat termasuk suri rumah.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ini termasuk laluan Pembelajaran Sepanjang Hayat seperti kemasukan melalui APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning), skim-skim pembiayaan pembelajaran serta tajaan biasiswa yang ditawarkan menerusi pelbagai agensi Kerajaan.
“Program eksekutif modular melalui kolej komuniti atau universiti dapat mengurangkan halangan untuk kembali belajar, menyokong pemulihan keyakinan diri, dan membolehkan peningkatan kemahiran selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.
“Semua inisiatif ini turut boleh diakses oleh suri rumah yang layak,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau lagi Program MyBrain15 yang kini dikenali sebagai MyBrain 2.0 juga telah diperkenalkan semula oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2024.
Katanya program ini bertujuan untuk meningkatkan bilangan pemegang ijazah lanjutan di Malaysia dan kumpulan sasarnya adalah mereka yang tidak bekerja dan tidak berpendapatan tetap.
Sementara itu menurut beliau Dasar Wanita Negara (DWN) 2025-2030 yang telah dilancarkan pada 8 Mac 2025 menggariskan lima strategi di bawah bidang keutamaan ekonomi.
“Antaranya adalah untuk meningkatkan penyertaan dan mengekalkan wanita dalam sektor pekerjaan serta memperkukuh ekosistem pekerjaan kondusif seperti pusat penjagaan dan tempat kerja yang mesra keluarga,” ujar beliau.
Bagi sektor penjagaan kanak-kanak, Noraini memaklumkan pelbagai insentif sebagai galakan penggunaan perkhidmatan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) telah disediakan.
Menurut beliau ia termasuk pelepasan cukai kepada majikan yang memberikan elaun atau subsidi kepada pekerja yang menghantar anak ke TASKA, geran bagi membantu meringankan kos penubuhan TASKA di tempat kerja sektor awam, pengecualian pendapatan bagi tempoh lima tahun kepada pengusaha TASKA serta elaun bangunan industri.
“Pelepasan Cukai Pendapatan Individu telah dinaikkan sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran TASKA dan TADIKA mulai taksiran 2025 hingga tahun taksiran 2027. Bermula tahun 2023, KPWKM meningkatkan tumpuan kepada pembangunan industri penjagaan merangkumi kanakkanak, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). – UMNO Online