Aznan Seru Bangsa Johor Berganding Bahu Banteras Buli
KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menyeru seluruh Bangsa Johor untuk berganding bahu membanteras budaya buli yang semakin membimbangkan.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa isu buli bukan sahaja tanggungjawab pihak sekolah dan kerajaan, malah ia memerlukan penglibatan menyeluruh termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat.
“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor khususnya pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat agar terus bersama membanteras budaya buli ini. Dengan kerjasama dan keprihatinan semua, kita mampu menjayakan seruan #JohorSafeZone serta memastikan Johor kekal sebagai negeri yang aman, selamat dan sejahtera buat generasi akan datang.
“Inisiatif ini adalah simbol kesepaduan semua pihak melibatkan kerajaan negeri, agensi, jabatan, warga pendidik dan pelajar untuk membina kesedaran bahawa ‘Buli Bukan Budaya Johor’.
“Gejala buli harus dibendung dan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi memastikan setiap institusi pendidikan adalah kawasan yang selamat bagi kanak-kanak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat itu lagi.
Mengulas lanjut, Aznan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia turut menghadiri Program Kempen Anti Buli Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengerang Utama (SMKPU), Pengerang.
Tambah beliau, seramai 839 pelajar telah menyertai program tersebut sebagai tanda sokongan sebagai zon bebas buli.
“Seramai 839 pelajar SMKPU telah bersama-sama menyahut seruan ini demi memastikan sekolah bebas daripada gejala buli dan menjadi ruang yang selamat untuk pembelajaran serta pembentukan sahsiah pelajar.
“1,195 buah sekolah di seluruh negeri Johor turut melaksanakan kempen yang sama dengan kehadiran ADUN kawasan masing-masing serta pegawai-pegawai tadbir negeri Johor,” ujarnya.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi; Azman Safii; Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pegawai Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Daerah Kota Tinggi merangkap Pegawai Perhubungan Sekolah SMKPU; Amirul Mustakim Mustaza serta guru-guru dan pelajar sekolah. – UMNO Online