Melaka Rekod Pelaburan Lebih RM800 Juta Suku Pertama 2025
MELAKA, 24 Ogos – Melaka merekodkan pelaburan sebanyak RM855.63 juta pada suku pertama tahun ini, meliputi sektor strategik seperti pembuatan dan perkhidmatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata ia hasil Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI) yang mencecah RM8.18 bilion pada tahun lepas, melepasi sasaran awal RM5 bilion sekali gus menyaksikan Melaka melonjak sebagai destinasi pelaburan unggul dalam negara.
“Pada masa yang sama, kerajaan negeri mengorak langkah proaktif melalui pembangunan strategik seperti MCORP High Tech Park, German Technology Park (GTP) dan ELKAY 2.0, yang bakal menjadi pemangkin industri berteknologi tinggi, seterusnya menyokong sasaran pelaburan
RM10 bilion menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, di Seri Negeri di sini hari ini.
Menyentuh pencapaian ekonomi negeri, Ab Rauf berkata Melaka terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 4.4 peratus kepada RM48.9 bilion pada 2024, berbanding RM46.9 bilion pada tahun sebelumnya.
“Pendapatan per kapita negeri juga meningkat kepada RM54,553, manakala kadar pengangguran berjaya diturunkan kepada 1.9 peratus pada suku pertama 2025, jauh lebih rendah daripada kadar nasional iaitu 3.1 peratus.
“Segala pencapaian ini terangkum dalam lebih 100 kejayaan yang telah dicapai sepanjang tempoh dua tahun di bawah kepimpinan saya.
“Seiring itu, hala tuju pembangunan negeri melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2035) turut mencatatkan kemajuan dengan mencapai 57 peratus daripada keseluruhan sasaran setakat Jun 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata bagi sektor pelancongan pula, Melaka menerima lebih 15 juta pelancong dengan hasil mencecah RM12.68 bilion pada 2024, manakala 8.89 juta pelancong dengan hasil sebanyak RM4.48 bilion sehingga Julai tahun ini.
“Kejayaan ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa, apabila Melaka merangkul Tourism Industry Award 2025 anjuran Malaysia international Tourism Development Association (MiTDA) menerusi tiga kategori utama iaitu Best Melaka UNESCO Heritage Site Promotion oleh Bahagian Promosi Pelancongan Melaka; Best lconic Tourist Attraction oleh Menara Taming Sari dan Best City Budget Hotel oleh Queenspark Lovita Hotel, Melaka.
“Pada masa yang sama, Program Melaka Bila Larut Malam terus mencatat sambutan memberangsangkan apabila berjaya menarik lebih 87,000 pengunjung pada tahun lepas, manakala setakat Ogos 2025 jumlah pengunjung telah melebihi 70,000 dengan perbelanjaan mencecah RM22.04 juta,” katanya.
Ab Rauh berkata melangkah ke hadapan, Melaka melancarkan lebih 800 produk pelancongan, merangkumi pelbagai segmen seiring dengan sasaran 16.5 juta pelancong dan hasil pelancongan negeri berjumlah RM17.97 bilion pada 2025.
“Dengan persiapan yang telah mencapai 90 peratus, Melaka ini bersedia menerima kehadiran dunia sempena Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, disusuli Tahun Melawat Malaysia 2026 pada 27 Sept ini,” katanya. – BERNAMA