Jalur Gemilang Lambang Maruah Negara, Jangan Pandang Remeh – Azmawi Fikri

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menegaskan bahawa isu berkaitan Jalur Gemilang tidak boleh sekali-kali dipandang ringan.

Ketuanya, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna merah, putih, biru dan kuning sebaliknya ia adalah simbol kedaulatan negara, maruah bangsa, dan penyatuan rakyat Malaysia.

“Generasi muda khususnya, perlu sedar bahawa menghormati bendera negara adalah sebahagian daripada menghormati negara itu sendiri. Dalam dunia yang semakin terbuka ini, nilai patriotisme tidak boleh dikompromi. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik, ekonomi, mahupun gaya hidup, namun pada soal kedaulatan negara, kita wajib berdiri teguh sebagai rakyat Malaysia.

“Saya juga menyeru pihak berkuasa untuk bersikap tegas dan konsisten dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan penghinaan terhadap Jalur Gemilang, tanpa mengira siapa yang melakukannya.

“Tindakan sebegini bukanlah bersifat menghukum semata-mata, tetapi mendidik masyarakat bahawa kebebasan berekspresi tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan simbol negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azmawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata UMNO sebagai parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara akan terus menjadi benteng mempertahankan maruah negara.

“Kami percaya bahawa pendidikan dan kesedaran awam adalah kunci untuk melahirkan generasi muda yang lebih menghargai makna sebenar kemerdekaan.

“Marilah kita bersama-sama memupuk semangat cintakan tanah air dengan menghormati Jalur Gemilang, kerana daripadanya lahir rasa satu bangsa dan satu negara,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79